KUALA LUMPUR 23 April - Eksport Malaysia berisiko terjejas akibat Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) secara langsung, ekonomi global perlahan atau berlaku kemelesetan, namun prospeknya dalam jangka panjang masih baik kerana negara berpeluang mendapat manfaat daripada usaha mempelbagaikan rantaian bekalan.
Menurut pengurus portfolio dan penganalisis kanan Franklin Templeton Emerging Markets Equity, Liao Yi Ping, langkah perlindungan perdagangan oleh AS boleh menjejaskan sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia kerana ia bergantung kepada rantaian bekalan global yang rumit dan mudah terkesan oleh perubahan ekonomi.
"Kita perlu berjaga-jaga dengan peraturan baharu tentang penyebaran teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dijangka bermula bulan depan, serta kemungkinan tarif tambahan terhadap semikonduktor," katanya dalam webinar Franklin Templeton bertajuk 'Tariff-ed? 100 Hari Pertama Trump', seperti laporan The Star.
Pada 13 Januari lalu, pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden, memperkenalkan kerangka kawalan eksport untuk penyebaran AI yang meletakkan Malaysia dalam negara Tahap 2.
Ia mengehadkan akses Malaysia kepada cip AI canggih seperti unit pemproses grafik (GPU) kepada maksimum 50,000 unit dalam tempoh dua tahun.
Dalam masa sama, Yi Ping berkata, tarif yang lebih tinggi terhadap pengeluar sarung tangan dari negara lain mungkin memberi kelebihan kepada Malaysia.
Tambahnya, bagi sektor teknologi pula, banyak syarikat multinasional sudah pun beroperasi di Malaysia dan rangkaian sedia ada adalah kukuh.
Mengulas situasi ASEAN, beliau berkata, tarif balas yang tidak dirunding dan dikurangkan boleh mencetuskan cabaran besar kepada rantau ini, memandangkan kadar tarif yang diumumkan untuk negara seperti Vietnam (46%), Thailand (36%) dan Indonesia (32%) adalah tinggi.
"Jika tarif ini dikuatkuasakan, ia boleh menjejaskan minat pelaburan langsung asing, terutamanya daripada syarikat yang sebelum ini ingin memindahkan operasi pengeluaran mereka ke rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian," jelasnya.
Beliau menambah, antara negara ASEAN, Vietnam dijangka paling terkesan kerana terlalu bergantung kepada eksport ke AS dan pelaburan dari China.
Sebaliknya, negara seperti Filipina dan Indonesia dijangka kurang terkesan kerana eksport bukan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka.
"Namun, ASEAN kekal sebagai rantau yang sangat dinamik. Indonesia, sebagai antara negara paling ramai penduduk di dunia, masih menawarkan peluang pelaburan menarik walaupun pasaran mengalami tekanan jualan sejak beberapa minggu lalu," katanya lagi.
Dari sudut jangka panjang, beliau melihat ketegangan tarif antara AS dan China sebagai kesinambungan kepada pemisahan ekonomi yang telah bermula sejak pentadbiran Presiden, Donald Trump.
"Kami melihat perang perdagangan yang berterusan ini memberi tekanan kepada ekonomi China dan kami kekal berhati-hati terhadap saham-saham China secara menyeluruh.
"Namun, kami masih melihat peluang pelaburan yang baik, terutama kerana pasaran domestik China yang besar, pelaburan dalam bakat tempatan yang kukuh dan ruang untuk melonggarkan dasar kewangan dan fiskal," ujarnya.
Tambah Yi Ping, peluang pelaburan lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat tempatan China serta pemain teknologi utama yang kurang terdedah kepada pasaran AS. - DagangNews.com








