Eksport halal Malaysia cecah hampir RM30 bilion separuh pertama 2025 - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport halal Malaysia cecah hampir RM30 bilion separuh pertama 2025 - Tengku Zafrul

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Eksport halal Malaysia mencecah AS$7 bilion (RM29.38 bilion) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kataMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Beliau berkata, jumlah itu menyumbang 16.1% daripada keseluruhan eksport negara melibatkan produk makanan dan minuman, bahan ramuan halal dan produk berasaskan minyak sawit.

 

“Barangan eksport ini dihantar ke pasaran utama negara seperti China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia.

 

“Kejayaan ini bukanlah hasil dari usaha kerajaan semata-mata sebaliknya adalah kolaborasi pelbagai pihak termasuk penggiat industri, perusahaan kecil, mikri dan sederhana (PMKS) yang berinovasi dengan pantas,” katanya ketika berucap di Persidangan Halal Sedunia Ke-17 2025 di Kuala Lumpur hari ini.

 

Setakat ini, lebih daripada 10,000 syarikat yang mempunyai pensijilan halal menyumbang kepada eksport halal Malaysia di peringkat global. 

 

 

t

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sedang memperkukuh ekosistem halal dengan lebih banyak penambahbaikan.

 

“Melalui aspek pendigitalan, pelancongan, taman perindustrian halal dan integrasi logistik, Malaysia akan memastikan sistem halal kita cekap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

 

“Dengan Rancangan Induk Industri Halal 2030 sebagai panduan, kerajaan bertekad untuk mengekalkan pertumbuhan, memperdalam hubungan antarabangsa dan kekal kompetitif di peringkat global,” katanya.

 

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah memperkemaskan ekonomi halal kewangan Islam bersepadu yang mendorong pertumbuhan inklusif bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga untuk masyarakat global.

 

Mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia pula, beliau berkata, MITI akan membentangkan cadangan tersebut kepada Kabinet pada bulan hadapan.

 

Tambahnya, industri halal Malaysia telah berkembang melangkaui sempadan geografi, dari makanan hingga ke farmaseutikal, fesyen, dan teknologi. 

 

“Malah, ekonomi halal global kini bernilai lebih AS$ 3 trilion dan terus berkembang pesat.

 

“Malaysia terus komited menjadi peneraju utama ekonomi halal dunia. Untuk 11 tahun berturut-turut, kita diiktiraf sebagai peneraju ekonomi halal global dalam State of the Global Islamic Economy Report. 

 

“Pengiktirafan ini membuktikan kredibiliti ekosistem kita yang mantap hasil kerjasama padu pelbagai pihak,” katanya. - DagangNews.com