Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.4% pada suku pertama 2025 disokong permintaan domestik berdaya tahan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.4% pada suku pertama 2025 disokong permintaan domestik berdaya tahan - DOSM

Gambar Kuala Lumpur oleh zafri alimin
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.4% pada suku pertama 2025 disokong asas permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal kukuh dalam situasi cabaran global yang berterusan.

 

Beliau berkata, sektor pembuatan merekodkan peningkatan pengeluaran 4.8% pada Februari 2025, dipacu industri berorientasikan eksport.

 

"Perayaan bermusim seperti sambutan Tahun Baru Cina, persediaan Ramadan dan pembukaan semula persekolahan telah membantu memastikan aktiviti ekonomi kekal positif. 

 

"Faktor-faktor ini menyumbang kepada prestasi jualan perdagangan edaran yang lebih kukuh, dengan peningkatan 5.1% pada Februari 2025 berbanding 4.6% pada bulan sebelumnya, disokong prestasi kukuh dalam kedua-dua perdagangan borong dan runcit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

dosm

 

Mohd Uzir berkata, pasaran buruh kekal memberangsangkan dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.1%.  

 

Katanya, bagi sektor luaran, aktiviti perdagangan berterusan disokong oleh permintaan global yang lebih baik bagi barangan eksport utama. 

 

"Secara keseluruhan, komponen domestik dan luaran membantu mengurangkan kesan ekonomi dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menyokong pertumbuhan bagi suku tahun ini," katanya.

 

dosm

 

Beliau berkata, bagi prestasi mengikut sektor, perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun pertama 2025, mencatatkan pertumbuhan  5.2%, diterajui subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi.

 

Sektor pembuatan katanya, mencatatkan pertumbuhan 4.2% disokong pengeluaran yang kukuh dalam produk elektrik, eletronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan. 

 

“Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 14.5% disokong aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan kediaman. 

 

"Sektor pertanian mencatatkan peningkatan marginal 0.7%, didorong subsektor perikanan manakala sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada -4.9% dipengaruhi pengeluaran yang lebih rendah dalam semua subsektor," katanya. - DagangNews.com