KUALA LUMPUR 7 Okt – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal pada kadar 4.1% bagi tahun 2026, tidak berubah daripada unjuran tahun sebelumnya, menurut Bank Dunia dalam laporan kemaskini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik edisi Oktober 2025.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, momentum pertumbuhan dijangka sederhana berikutan faktor luaran dan domestik yang mengekang potensi ekonomi negara.
“Unjuran global dan serantau tidak begitu memberangsangkan. Kami dapati ekonomi Malaysia sangat sensitif terhadap perubahan di Amerika Syarikat (AS) dan China,” katanya dalam sidang media pelancaran laporan berkenaan hari ini.
Menurut Apurva, pertumbuhan Malaysia masih akan digerakkan oleh perbelanjaan isi rumah, disokong oleh peningkatan gaji, bantuan kerajaan serta dasar kewangan yang menyokong pertumbuhan.
Beliau menjelaskan, penurunan satu mata peratusan dalam kadar pertumbuhan AS boleh mengurangkan unjuran pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.8 mata peratusan, manakala penurunan satu mata peratusan dalam pertumbuhan China pula boleh menjejaskan sebanyak 0.45 mata peratusan pertumbuhan Malaysia.
“Impak kelembapan ekonomi AS lebih besar terhadap Malaysia berbanding kesan daripada kelembapan di China, walaupun kedua-duanya penting,” katanya.
Tambahnya, permintaan domestik serta keyakinan isi rumah dan firma semakin berkurangan berdasarkan penunjuk sentimen perniagaan seperti RAM Index dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI), disebabkan ketidaktentuan tarif dan pasaran.
“Firma kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga isu tarif dan ketidaktentuan perniagaan lain dapat diselesaikan.
“Secara keseluruhan, terdapat penurunan dalam sentimen perniagaan dan pengguna akibat limpahan ketidaktentuan ini,” jelasnya.
Dalam sektor perdagangan dan teknologi, Bank Dunia memberi amaran bahawa sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia berisiko kehilangan daya saing dalam pengeluaran cip semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya cip berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang kini dikuasai Taiwan dan Korea Selatan.
Bagi 2026, pertumbuhan eksport Malaysia dijangka kekal mendatar pada 2.9% manakala pertumbuhan import diunjur menurun kepada 3.7% daripada 4.5% sebelum ini.
Apurva berkata, cabaran lain termasuk tahap perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang rendah serta inovasi tempatan yang terhad, apabila hanya 13 hingga 18% paten difailkan oleh warga Malaysia.
“Langkah pengukuhan fiskal diperlukan bagi memastikan hutang negara berada pada paras mampan memandangkan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini pada 64%.
“Ia sudah melebihi had 60% yang ditetapkan dalam Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) untuk dicapai dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, negara perlu meningkatkan hasil kerajaan melalui pendekatan yang lebih luas daripada sekadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pematuhan cukai, memandangkan kadar atau skop SST tidak boleh dinaikkan secara berterusan.
Beliau berkata, Malaysia perlu memperkukuh jaringan perdagangan dengan memperluas kerjasama serantau dalam ASEAN, mengurangkan halangan dalam perdagangan perkhidmatan, serta mempercepatkan pembaharuan di peringkat syarikat bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan mengurangkan amalan rasuah dalam proses kelulusan permit.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada fasa seterusnya akan banyak bergantung kepada peningkatan produktiviti, keupayaan inovasi dan tahap integrasi serantau yang lebih kukuh,” katanya. - BERNAMA








