KUALA LUMPUR 9 Jan – Meskipun pertumbuhan ekonomi global dijangka perlahan pada 2026 akibat tekanan demografi, pasaran buruh yang terhad serta ketidaktentuan geopolitik, Malaysia dijangka kekal kukuh berasaskan faktor domestik yang stabil, menurut Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).
MARC menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.3% bagi 2026, sedikit menurun berbanding 4.5% pada 2025.
“Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan domestik yang mantap dan pelaburan berterusan, terutamanya berkaitan kitaran perbelanjaan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dijangka meningkatkan permintaan bagi produk elektronik serta infrastruktur pusat data.
“Inflasi dijangka sederhana pada 1.6%, manakala pertumbuhan pendapatan berterusan dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah,” kata MARC dalam satu kenyataan hari ini.
Dari segi mata wang, Ringgit dijangka mengukuh kepada sekitar 3.93 berbanding dolar Amerika menjelang pertengahan 2026, disokong aliran masuk portfolio asing, inflasi yang terkawal serta lebihan dagangan yang semakin meningkat.
Sejak akhir 2025, Ringgit telah meningkat sebanyak 10.1% berbanding dolar AS, menjadikannya mata wang terbaik di Asia bagi tempoh tersebut.
MARC menekankan bahawa stabiliti domestik Malaysia didorong oleh permintaan dalaman yang mantap, pelaburan berterusan, reformasi institusi dan konsolidasi fiskal yang berterusan, dengan defisit fiskal dijangka menurun kepada 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.
Faktor-faktor ini dijangka mengekalkan kestabilan hasil bon domestik dan memberikan keyakinan kepada pelabur.
Namun begitu, MARC menasihati pelabur agar terus memantau risiko luaran, termasuk kemungkinan penamatan kadar faedah rendah di Jepun yang boleh menjejaskan aliran modal ke pasaran membangun.
“Hasil bon 10 tahun Amerika jatuh kepada 4.17% akhir 2025 kerana pelabur mencari tempat selamat disebabkan ketegangan di Timur Tengah, ketidaktentuan perdagangan, dan penutupan kerajaan AS.
“Kadar faedah jangka pendek juga turun selepas Federal Reserve memotong kadar sebanyak tiga kali pada separuh kedua 2025.
“Campur tangan tentera AS di Venezuela dan kemungkinan harga minyak lebih rendah dijangka memberi kesan jangka pendek. Selain itu, dasar baru AS yang menambah hutang USD3 trilion, serta perubahan pencen Belanda dan perbelanjaan tinggi di Eropah, mungkin menjejaskan hasil bon di Rantau tersebut,” katanya.
Perkembangan geopolitik lain, termasuk pertemuan pemimpin dunia seperti Trump dan Xi, juga berpotensi mempengaruhi dasar perdagangan dan aliran pelaburan.
Secara keseluruhan, MARC berpendapat Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi ketidakpastian global, dengan asas domestik yang kukuh menyokong pertumbuhan ekonomi dan kestabilan mata wang Ringgit. - DagangNews.com








