Ekonomi global diramal berdaya tahan, pelabur tempatan disaran pelbagaikan strategi - Manulife | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi global diramal berdaya tahan, pelabur tempatan disaran pelbagaikan strategi - Manulife

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Dis – Manulife Investment Management (Manulife IM) menjangkakan ekonomi global kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan dasar dan tarif.

 

Justeru firma berkenaan menasihatkan pelabur tempatan supaya terus berwaspada terhadap risiko makro serta mengamalkan strategi pelaburan yang lebih terpelbagai menjelang 2026.

 

Menurutnya, pelabur wajar mengurangkan tumpuan terhadap saham teknologi berskala besar, di samping menyasarkan komoditi secara terpilih serta mengutamakan syarikat berkualiti dengan aliran tunai kukuh khususnya dalam segmen penggunaan dan pengewangan kecerdasan buatan (AI).

 

Pakar Strategi Makro Global Kanan Manulife IM, Yuting Shao berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global terus menunjukkan ketahanan yang ketara walaupun dilanda pelbagai ketidaktentuan, sekali gus menyokong permintaan bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti Malaysia.

 

“Dasar monetari yang berwibawa serta disiplin fiskal amat penting bagi mengawal inflasi, mengekalkan kestabilan kewangan dan menyokong keyakinan pelabur terhadap keputusan pelaburan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, meskipun keadaan kewangan global yang agak longgar telah menyokong aset berisiko sepanjang tahun ini, sebarang kejutan luar jangka yang mengetatkan keadaan tersebut berpotensi mendorong pelabur mengurangkan pendedahan risiko.

 

Shao turut mengingatkan bahawa kelembapan pelaburan dalam AI boleh memberi tekanan kepada aset berisiko memandangkan perbelanjaan modal dan pengembangan infrastruktur yang besar dalam sektor berkenaan. 

 

Namun begitu, beliau menjangkakan penggunaan dan pengewangan AI akan terus menjadi tumpuan utama pelabur pada 2026.

 

Sementara itu, Pengurus Portfolio Pelbagai Aset Manulife IM, Nicole Wong, menjangkakan putaran sektor akan berterusan dalam persekitaran pasaran semasa.

 

“Walaupun perbincangan mengenai ‘gelembung AI’ masih berterusan, kami melihat AI sebagai trend struktur jangka panjang. Penangguhan sementara dalam saham teknologi adalah sihat selepas tempoh penilaian tinggi dan sentimen terlalu optimistik,” katanya.

 

Menurut Wong, pelabur perlu memantau kepekatan risiko dalam sektor teknologi, memandangkan putaran jelas berlaku sama ada dalam sektor itu sendiri atau ke arah sektor pasaran yang lebih bersifat kitaran. 

 

Ini termasuk mengambil kira pasaran yang sebelum ini mencatat prestasi kukuh seperti Korea, tetapi kini menunjukkan tanda penyejukan, manakala perhatian pelabur mula beralih ke Eropah yang disokong peluasan fiskal Jerman dan dasar pro-perniagaan.

 

Beliau menambah, emas kekal menarik disokong faktor struktur seperti permintaan bank pusat, manakala perak dan tembaga menawarkan peluang yang baik berikutan kekangan bekalan global serta permintaan jangka panjang daripada usaha penyahkarbonan China dan pembangunan pusat data.

 

“Dalam pasaran yang bergerak pantas ini, pendekatan yang tangkas dan pelaburan terpelbagai amat penting bagi mengurangkan turun naik,” katanya.

 

Wong turut mengingatkan antara risiko utama menjelang penghujung 2026 ialah kemungkinan peningkatan semula inflasi susulan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi dan kenaikan harga komoditi, yang boleh memberi tekanan kepada hasil bon global dan menjejaskan aset berisiko.

 

Di peringkat domestik, Wong berkata Manulife IM kekal berkecuali terhadap pasaran Malaysia menjelang 2026, memandangkan kerajaan berada di landasan untuk mencapai sasaran defisit dan tidak berdepan tekanan besar untuk memperkenalkan rangsangan tambahan.

 

Beliau berkata Bank Negara Malaysia dilihat cenderung ke arah dasar monetari yang lebih ketat sejajar dengan dinamik pertumbuhan domestik.

 

“Walaupun Malaysia muncul sebagai hab pusat data paling pesat berkembang pada 2025, kekangan kapasiti dijangka memperlahankan pembinaan pada 2026. Penilaian pasaran secara keseluruhan juga dilihat neutral berbanding pasaran sedang pesat membangun lain, dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan sekitar tujuh peratus berbanding 16 peratus bagi Asia secara keseluruhan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pengurus Portfolio Kanan Ekuiti Manulife IM, Kenglin Tan menegaskan, kepentingan pendekatan lebih berdisiplin dalam mengenal pasti peluang pelaburan, khususnya dalam persekitaran risiko global yang dipengaruhi inflasi dan ketegangan geopolitik.

 

“Dalam sektor semikonduktor serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang dipacu AI, tumpuan perlu diberikan kepada syarikat yang mempunyai keupayaan teknologi kukuh dan mampu mengikuti kemajuan rantaian bekalan AI generatif,” katanya.

 

Beliau menambah, terdapat potensi besar dalam syarikat yang membantu perniagaan lain beralih kepada sistem berasaskan AI, khususnya perusahaan kecil dan sederhana yang ingin menaik taraf infrastruktur serta keupayaan teknologi maklumat mereka.

 

Menurut Tan, dalam menilai peluang di Malaysia, keupayaan pasukan pengurusan untuk mengemudi risiko global merupakan faktor utama, yang memerlukan pemantauan berterusan terhadap rekod prestasi mereka. 

 

Keadaan ketidaktentuan global, katanya, boleh dikurangkan dengan mengutamakan syarikat yang mempunyai aliran tunai kukuh dan kunci kira-kira yang sihat bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran mencabar. - DagangNews.com