EdgePoint lengkapkan 12 bilik darjah digital di tiga negara ASEAN, manfaatkan lebih 6,500 pelajar melalui program CFC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EdgePoint lengkapkan 12 bilik darjah digital di tiga negara ASEAN, manfaatkan lebih 6,500 pelajar melalui program CFC

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – EdgePoint Infrastructure berjaya melengkapkan 12 bilik darjah digital di tiga negara ASEAN melalui program "Connectivity For Communities" (CFC), sekali gus memberi manfaat kepada lebih 6,500 pelajar di Malaysia, Indonesia, dan Filipina.

 

Syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas berpusat di ASEAN itu melaksanakan program sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk menyediakan akses sambungan internet kepada pelajar di komuniti kurang liputan.

 

Naib Presiden Eksekutif Rakyat dan Pejabat Korporat EdgePoint, Chee Wi Lyn berkata, pendekatan tersebut berjaya mengubah corak pembelajaran pelajar melalui penggunaan modul dalam talian dan sumber digital.

 

"Pelajar kini lebih terdedah kepada kaedah pembelajaran moden, termasuk penyuntingan video dan menghasilkan persembahan digital. Secara tidak langsung, ia membolehkan mereka membina kemahiran tambahan yang berguna untuk masa depan.

 

"Program CFC turut menunjukkan impak positif terhadap prestasi akademik dan kehadiran pelajar.

 

"Kehadiran ke sekolah meningkat 10% manakala skor peperiksaan meningkat 6%. Malah, ada sekolah yang mencatatkan peningkatan sehingga 100% dalam skor literasi digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

EdgePoint

 

Sejak dilancarkan lebih setahun lalu, EdgePoint telah membina bilik darjah digital lengkap dengan sambungan internet lancar, peranti digital, dan ruang rehat pelajar yang telah dibaik pulih. Program literasi digital jangka panjang juga dilaksanakan melalui kerjasama dengan guru dan organisasi tempatan.

 

EdgePoint melihat kesan positif sambungan internet terhadap komuniti sekitar, termasuk ibu bapa dan penduduk setempat yang kini memanfaatkan kemudahan tersebut untuk menjana pendapatan secara dalam talian, menjalankan transaksi kewangan, dan mengikuti latihan peningkatan kemahiran.

 

"Inisiatif ini bukan hanya meningkatkan peluang individu, tetapi juga memperkasakan komuniti untuk bersaing dalam dunia digital yang semakin pesat," tambah Wi Lyn.

 

EdgePoint kini bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk memperluas pelaksanaan program tersebut ke komuniti yang memerlukan.

 

Syarikat itu menyasarkan untuk membina 20 perpustakaan digital di sekolah-sekolah terpilih di Malaysia, Indonesia, dan Filipina menjelang akhir tahun ini.- DagangNews.com