EdgePoint lancar tapak hibrid solar pertama bagi memajukan rumusan tenaga mampan sektor telekomunikasi   | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EdgePoint lancar tapak hibrid solar pertama bagi memajukan rumusan tenaga mampan sektor telekomunikasi  

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April — EdgePoint Infrastructure menerusi EdgePoint Towers Sdn Bhd berjaya melancarkan tapak hibrid solar pertamanya bagi memajukan rumusan tenaga lestari dalam sektor telekomunikasi Malaysia.


Syarikat infrastruktur telekomunikasi bebas itu berkata, ia langkah penting ke arah memajukan rumusan baharu tenaga mampan dalam sektor telekomunikasi Malaysia dengan menyediakan 100 peratus tenaga diperlukan untuk mengendalikan peralatan telekomunikasi.


Inisiatif itu juga katanya, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api diesel dengan tapak ini beroperasi secara autonomi dan kapasiti puncak sebanyak 5.9 kilowatt (kWp), hanya menggunakan tenaga panel solar fotovoltaik, dilengkapi dengan simpanan bateri.


Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin berkata, syarikat tersebut berbangga dapat menyumbang kepada penggunaan rumusan RE yang memenuhi keperluan semasa dan matlamat masa depan ke arah kemampanan serta kecekapan kos secara jangka panjang.


"Rumusan ini amat penting untuk kawasan terpencil dan sukar dicapai, terutamanya koridor pengangkutan seperti lebuh raya, terowong, jambatan atau terminal awam, disebabkan liputan kualiti adalah penting untuk sebahagian besar pengguna," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, peluang untuk meningkatkan ketersambungan nasional adalah luas, dan EdgePoint tidak sabar bekerjasama rapat dengan rakan kongsi untuk memajukan rumusan mampan yang dapat meningkatkan liputan dan mengurangkan pelepasan karbon di seluruh industri.


Penggunaan baharu itu juga kata Muniff, dijangka mampu mengurangkan kadar pelepasan karbon tahunan di lapangan sebanyak kira-kira 78 peratus, di samping memastikan ketersambungan lancar untuk para pengembara di sepanjang laluan lebuh raya yang jauh di pedalaman.


Beliau turut menyimpulkan bahawa penggunaan tenaga solar telah terbukti sebagai rumusan paling ideal untuk Malaysia, memandangkan bantuan faktor iklim Khatulistiwa dan liputan tahap pendedahan suria yang adalah tinggi di seluruh negara setiap tahun.


"Dengan menyepadukan tenaga suria ke dalam infrastruktur telekomunikasi, kami mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui, serta dapat menjimatkan kos operasi di tapak, dan mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara," kata beliau.


Penyelesaian hibrid solar ialah aspek tumpuan EdgePoint Towers dan merupakan bahagian penting dalam strategi luas syarikat untuk melaksanakan rumusan secara inovatif dan mampan, memacu transformasi seluruh industri ke arah operasi yang lebih bersih.


Muniff juga begitu optimis mengenai peluang serta potensi kerjasama masa depan syarikat tersebut dengan pelbagai operator rangkaian mudah alih (MNO) dan mana-mana pelanggan bukan MNO untuk membantu mereka dalam mencapai objektif hijau selain lebih cekap tenaga.


Selain itu, EdgePoint turut menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu prasarana telekomunikasi cekap tenaga di Malaysia, dan membantu rakan kongsinya beralih kepada operasi yang lebih hijau tanpa menjejaskan ketersambungan dan kualiti rangkaian.


"Menjelang penghujung 2025, kami merancang untuk melengkapkan lebih banyak tapak hibrid solar atau solar penuh di seluruh negara, serta mengukuhkan lagi komitmen syarikat ini terhadap infrastruktur telekomunikasi yang mampan," tambah beliau.


EdgePoint Infrastructure merupakan syarikat menara berbilang negara yang paling pesat berkembang di ASEAN, dengan 15,800 tapak dalam portfolionya termasuk 1,800 tapak berada di Malaysia dan menjadikannya pengendali menara kedua terbesar di Malaysia. - DagangNews.com