ECRL berjaya korek 38 terowong 2 bulan lebih awal dari jadual | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECRL berjaya korek 38 terowong 2 bulan lebih awal dari jadual

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 April - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah berjaya menyelesaikan kerja pengorekan bagi 38 terowong di sepanjang jajaran rel, dua bulan lebih awal dari jadual asal. 

 

Ini berikutan pencapaian penting yang dicatatkan selepas dua penembusan terowong baru di Selangor pada awal minggu ini.

 

Terowong Serendah 1 sepanjang 3.50 km telah berjaya ditembusi pada 7 April 2025, menjadikannya terowong ke-38 yang selesai dikorek

 

ECRL kini telah mencapai 38 penembusan terowong daripada 41 terowong yang dibina. Tiga lagi terowong yang sedang dalam proses pengorekan ialah Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39 km dan Terowong Serendah 2 sepanjang 9.85 km, yang dijangka selesai pada pertengahan dan suku ketiga 2025.

 

Letupan terakhir di Terowong Serendah 1 berjaya menembusi penghadang terakhir kira-kira 2,046 meter dari pintu keluar terowong pada 7 April 2025. Kejayaan ini melibatkan 894,920 jam tenaga kerja dan kaedah pengorekan gerudi dan letup.

 

Dengan ketinggian purata 12 meter dan lebar 13 meter, terowong ini akan menyediakan ruang untuk dua landasan rel apabila siap sepenuhnya.

 

Menurut Datuk Sri Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pencapaian ini adalah hasil daripada usaha cemerlang pasukan Projek ECRL di Seksyen 8 dan Seksyen 9 serta penggunaan teknologi pengorekan terowong canggih yang selamat.

 

"Pengorekan Terowong Serendah 1 sepanjang 3.50 km adalah elemen utama dalam jajaran ECRL yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang, dengan selamat mengeluarkan 512,582 meter padu tanah dan batuan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Fasa 1 ECRL, yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijadualkan siap pada Disember 2026, sementara Fasa 2 menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang akan siap pada Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

 

Dengan panjang 665 km, ECRL dijangka menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, membolehkan perjalanan dari Kota Bharu ke Gombak dalam masa 4 jam berbanding 7 jam menggunakan pengangkutan jalan raya.

- DagangNews.com