EcoWorld jalin kerjasama dengan Musashino Bank, Bugin Institute tarik PKS Jepun ke Negeri Sembilan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld jalin kerjasama dengan Musashino Bank, Bugin Institute tarik PKS Jepun ke Negeri Sembilan

Gambar ilustrasi Eco Business Park VII di Negeri Sembilan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Eco World Development Group Bhd menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Musashino Bank Ltd dan Bugin Regional Economic Research Institute Co Ltd untuk memudahkan kemasukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Jepun ke Malaysia melalui projek perindustrian terbaharunya, Eco Business Park VII (EBP VII) di Negeri Sembilan.

 

Majlis pertukaran MoU itu berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun dengan disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Kerjasama strategik tersebut akan menarik kedatangan PKS Jepun yang berpotensi untuk menyertai EBP VII yang akan dilancarkan menjelang akhir 2025.

 

EBP VII dibangunkan di atas tanah seluas 1,195 ekar di Bukit Pelandok melalui Eco Business Park 7 Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas milik bersama EcoWorld (55%), SD Guthrie Bhd (30%) dan NS Corporation (15%).

 

Di bawah MoU itu, Musashino Bank akan memanfaatkan rangkaian dan hubungannya dengan pengusaha PKS Jepun bagi mengenal pasti syarikat yang mahu mengembangkan operasi ke rantau ini.

 

Bugin Institute pula akan menyediakan sokongan tambahan termasuk kajian perniagaan, seminar dan program nasihat untuk membantu PKS Jepun membuat keputusan pelaburan.

 

t
Gambar ilustrasi Eco Business Park VII (EBP VII) di Negeri Sembilan.

 

Menurut EcoWorld, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi termasuk pemprosesan makanan, teknologi perubatan, logistik, industri sokongan aeroangkasa serta elektrik dan elektronik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Musashino Bank dan Bugin Institute dalam mempromosikan projek perindustrian itu kepada pelanggan Jepun.

 

“EBP VII yang terletak secara strategik dalam kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 mampu menyokong aspirasi pertumbuhan antarabangsa pelanggan mereka.

 

“Melalui pertukaran MoU ini, kami berhasrat mewujudkan laluan jelas untuk PKS Jepun melabur dan berkembang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, kerjasama itu turut menyediakan penyelesaian pelaburan bersedia pasaran (investor-ready solutions) termasuk sokongan praktikal dan akses pembiayaan untuk memudahkan kemasukan pelabur Jepun. - DagangNews.com