Econpile peroleh kontrak kerja-kerja cerucuk RM53.99 juta daripada Gamuda bagi projek LRT Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile peroleh kontrak kerja-kerja cerucuk RM53.99 juta daripada Gamuda bagi projek LRT Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Econpile Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM53.99 juta daripada Gamuda Geo Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja cerucuk dan kerja-kerja berkaitan bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang – Laluan Mutiara.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd, menerima Surat Anugerah (LOA) pada 8 September 2025 bagi Sub-Pakej BP07, yang merangkumi kerja-kerja dari Komtar hingga ke Jelutong Timur.

 

"Kontrak berkenaan dijadualkan bermula pada 1 Oktober 2025 dan dijangka siap secara praktikal pada 30 April 2027," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Econpile menjangkakan, projek itu memberi sumbangan positif kepada hasil dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) dan seterusnya.

 

Syarikat itu berkata, tiada risiko ketara dijangka selain risiko operasi biasa, dengan langkah kawalan dan prosedur pengurusan akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesan atau kebarangkalian risiko.

 

Kumpulan itu turut mengesahkan, tiada pengarah, pemegang saham utama mahupun pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.- DagangNews.com