KUALA LUMPUR 21 April 2025 – EcoFirst Consolidated Bhd meluaskan sayapnya di luar sektor hartanah selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Johor Biotechnology and Biodiversity Corporation (JBBC) dalam usaha memperkukuh inovasi dan teknologi pertanian pintar di Johor.
Perjanjian strategik yang dimeterai melalui anak syarikatnya, EcoFirst Opal Sdn Bhd itu dilaksanakan di bawah naungan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Johor, sebagai sebahagian daripada usaha membina ekosistem pertanian berteraskan teknologi serta lestari.
Langkah itu selari dengan visi negeri Johor ke arah membentuk sektor pertanian moden dan berimpak tinggi dengan penglibatan aktif daripada sektor swasta.
JBBC sebagai badan berkanun yang diwujudkan di bawah Enakmen Bioteknologi dan Biodiversiti Johor 2006, memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan bioekonomi negeri, serta menerajui inisiatif pemuliharaan biodiversiti.
Kerjasama selama lima tahun itu merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan pusat demonstrasi teknologi, pemindahan ilmu, pengkomersialan teknologi pertanian, latihan kemahiran, serta pembangunan bakat baharu dalam sektor berkenaan.
Ia merupakan komitmen bersama bagi mempercepatkan inovasi melalui kerjasama strategik sektor awam-swasta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EcoFirst Consolidated, Chew Hian Tat berkata, pihaknya yakin usaha sama ini bakal memperkukuh impak jangka panjang syarikat terhadap inovasi, nilai untuk pemegang taruh, dan inovasi dinamik.- DagangNews.com








