KUALA LUMPUR 8 Ogos – Anak syarikat milik penuh EcoFirst Consolidated Bhd berdepan tindakan undang-undang daripada 46 pembeli unit pangsapuri di Seri Kembangan, susulan kelewatan lebih sedekad dalam penyerahan hak milik strata bagi projek The Academia @ South City Plaza.
EcoFirst berkata, Pujian Development Sdn Bhd dan pemaju projek, Wize Platinum Sdn Bhd telah disaman oleh pembeli yang mendakwa kedua-dua defendan gagal mendapatkan hak milik strata sejak projek itu siap pada Ogos 2012.
“Kelewatan yang kini menjangkau lebih 12 tahun itu didakwa menyebabkan pembeli mengalami kerugian dari segi peningkatan nilai hartanah selain tidak memiliki dokumen hak milik sah ke atas unit masing-masing,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menerusi saman difailkan di Mahkamah Tinggi, pembeli memohon agar mahkamah mengarahkan kedua-dua syarikat untuk segera mendapatkan hak milik strata serta menyerahkannya kepada mereka.
Selain itu, mereka turut menuntut pampasan berjumlah RM7.59 juta bersamaan 5% setahun daripada harga belian unit, dikira mengikut tempoh kelewatan.
Plaintif turut berhujah kedua-dua syarikat telah melanggar Seksyen 8 Akta Hakmilik Strata, yang mewajibkan pemaju memohon hak milik strata dalam tempoh enam bulan selepas Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.
EcoFirst berkata, Pujian Development telah melantik peguam untuk mencabar tuntutan tersebut di mahkamah.
Mengulas potensi impak kewangannya pula, syarikat menjelaskan liabiliti maksimum yang dijangka adalah nilai pampasan RM7.59 juta.
Bagaimanapun, EcoFirst menegaskan tindakan undang-undang tersebut dijangka tidak memberi kesan material kepada operasi kumpulan.
Projek The Academia terdiri daripada dua blok pangsapuri servis setinggi 13 tingkat melibatkan 416 unit kediaman yang dibina di atas Kompleks South City Plaza, Seri Kembangan.- DagangNews.com








