ECERDC tarik pelaburan RM2.6 bilion pada suku pertama 2025 pacu pembangunan Segamat, Mersing  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC tarik pelaburan RM2.6 bilion pada suku pertama 2025 pacu pembangunan Segamat, Mersing 

Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi bersama Ahli Jawatankuasa Koordinasi Pelaksanaan ECER (ICC) semasa Mesyuarat ICC Johor pada 24 April 2025.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2.6 bilion ke daerah Segamat dan Mersing, Johor dalam suku pertama 2025. 

 

Mersing turut dibangunkan sebagai sebuah lokasi pengenalan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi dan kepulauan, disokong oleh penaiktarafan infrastruktur dan inisiatif eko-pelancongan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehcapaiandan pengalaman pelawat.

 

Antara projek utama di Segamat termasuklah pembangunan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860 megawatt (MW) di atas tanah seluas 687.9 hektar menjadikannya antara projek tenaga boleh baharu (RE) terbesar di rantau ini. 

 

Selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, projek itu memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara terhadap pembangunan rendah  karbon. Manakala, Segamat pula akan dibangunkan dengan kemudahan biomass yang menukar buah tandan kosong kepada pelet bahan api sawit, untuk menyokong penggunaan lestari melalui sisa pertanian serta menyumbang kepada ekonomi kitaran. 

 

Di Mersing, pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) menjadi salah satu pemangkin utama kepada agenda sekuriti makanan negara. Sehingga Mac 2025, projek hab tenusu moden bersepadu itu telah mencapai 93% kemajuan dan dijangka untuk siap sepenuhnya pada bulan Jun 2025. 

 

JDV dijangka meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan membuka peluang pekerjaan baharu.

 

Pembangunan infrastruktur pelancongan di Mersing menunjukkan kemajuan positif, merangkumi projek seperti Peta Rainforest Discovery Centre, penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, penyiapan jeti Pulau Pemanggil, dan pembinaan Pusat Maklumat dan Khidmat di Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Besar. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras utama dalam strategi ECERDC dalam menjana pembangunan mampan dan inklusif di Mersing dan Segamat.

 

"Dengan mengintegrasikan infrastruktur pertanian moden, aktiviti hiliran nilai tambah dan amalan pertanian pintar, kami akan terus mengusahakan pembangunan ekonomi luar bandar yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, sejajar dengan agenda sekuriti makanan negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di Mersing, selain sektor tenusu, pembangunan pelancongan turut dipergiat menerusi projek seperti Peta Rainforest Discovery Centre, penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, penyiapan jeti Pulau Pemanggil serta pembinaan Pusat Maklumat dan Khidmat di Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Besar.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor pertama tahun 2025 di Purajaya berkata, kejayaan tersebut menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi kedua-dua daerah.

 

"Usaha ini juga selari dengan Rancangan Pembangunan ECER di bawah RMK-13 yang menyasarkan sumbangan KDNK berjumlah RM13 bilion menjelang 2030," katanya.

 

ECERDC turut menandatangani kerjasama strategik dengan Pejabat Daerah Segamat dan CSC Plantation Sdn Bhd untuk melaksanakan program Tanaman Secara Fertigasi selama 10 tahun di bawah program IPR-INTAN.

 

Projek tersebut akan dijalankan di tapak seluas 20 ekar di Agro Mix Farm 3 dan melibatkan penyertaan 42 peserta dari golongan B40 dalam penanaman cili dan rock melon dengan menggunakan teknologi pintar (IoT).

 

Usaha itu dijangka dapat meningkatkan produktiviti pertanian luar bandar dan menjana pendapatan tetap sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap peserta.- DagangNews.com