DXN catat 60% jualan dari Amerika Latin, didorong pertumbuhan Peru dan Argentina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DXN catat 60% jualan dari Amerika Latin, didorong pertumbuhan Peru dan Argentina

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – DXN Holdings Bhd terus mengukuhkan momentum pertumbuhan antarabangsa apabila Peru dan Argentina kini muncul sebagai antara pasaran paling bernilai tinggi bagi syarikat itu, menjadikan rantau Amerika Latin sebagai penyumbang terbesar kepada jualan kumpulan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025 (FY25), Amerika Latin menyumbang hampir 60% daripada hasil jualan DXN. 

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, Peru kekal mendominasi sebagai pasaran utama sejak beberapa tahun lalu.

 

“Argentina pula sedang berada di landasan untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pasaran global teratas, didorong pertumbuhan ahli yang kukuh serta peningkatan purata perbelanjaan ahli.

 

“Pencapaian ini membuktikan model perniagaan DXN yang berasaskan  rangkaian keahlian berkesan untuk dikembangkan melangkaui Asia dan Timur Tengah.

 

“Ia juga memberi kelebihan dari segi keterlihatan pendapatan, kepelbagaian geografi serta pengukuhan aliran tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, kebangkitan Peru dan Argentina menunjukkan enjin pertumbuhan DXN bukan hanya tertumpu di rantau Asia, tetapi juga meluas ke Amerika Latin. 

 

“Pemegang saham kini yakin pendapatan kami pada masa sekarang lebih pelbagai, dividen kekal mampan, dan jenama DXN semakin mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa.

 

“Tadbir urus juga menjadi keutamaan. Langkah penyenaraian semula DXN di Bursa Malaysia dibuat bagi meneguhkan komitmen terhadap tadbir urus, memastikan ketelusan dan akauntabiliti, serta memelihara keyakinan pelabur dalam jangka panjang,” katanya.

 

Selain Amerika Latin, DXN turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kehadiran jenama di Timur Tengah dan Afrika Utara melalui pengambilalihan strategik hartanah di Burj Khalifa, Dubai baru-baru ini.

 

Transaksi bernilai RM7.4 juta itu dilaksanakan dengan kawalan tadbir urus ketat serta kelulusan pengarah bebas dan penasihat luar dan dianggap tidak material berbanding jumlah aset bersih syarikat sebanyak RM1.3 bilion.

 

“Walaupun berskala kecil dari sudut kewangan iaitu kurang 0.6% daripada jumlah aset bersih, langkah ini dilihat penting untuk membina hab strategik bagi penglibatan ahli, pembangunan kepimpinan serta memperkukuh keterlihatan jenama DXN di pasaran itu,” katanya. - DagangNews.com