Duopharma raih tiga lagi kontrak bekal ubat kerajaan bernilai RM16.58 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma raih tiga lagi kontrak bekal ubat kerajaan bernilai RM16.58 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 April - Pengeluar ubat generik terbesar negara, Duopharma Biotech Bhd memperoleh tiga lagi kontrak pembekalan ubat kepada kerajaan bernilai RM16.58 juta daripada Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd.

 

Kontrak tambahan itu diperoleh melalui anak syarikatnya, Duopharma HAPI Sdn Bhd, menjadikan jumlah keseluruhan produk yang dibekalkan kepada kerajaan kini mencecah 99 produk dengan nilai melebihi RM682 juta.

 

Kontrak-kontrak baharu tersebut akan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 atau mengikut tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak kerajaan, selaras dengan kontrak yang dianugerahkan pada April dan Oktober 2024.

 

Terdahulu, pada 30 April 2024, Duopharma (M) Sdn Bhd dan Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd dianugerahkan 11 kontrak membekalkan 86 jenis produk bernilai RM578.09 juta.

 

Enam bulan kemudian, kedua-dua syarikat itu sekali lagi meraih lima kontrak tambahan bagi membekalkan 10 produk bernilai RM87.66 juta.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Duopharma mencatat keuntungan bersih sebanyak RM62.65 juta, meningkat 19% berbanding RM52.65 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com