Duopharma raih kontrak ubat baharu RM1.81 juta daripada Pharmaniaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma raih kontrak ubat baharu RM1.81 juta daripada Pharmaniaga

Duopharma Biotech Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 April - Duopharma Biotech Bhd, syarikat yang 44.1% pegangan sahamnya dimiliki oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), menerima satu lagi kontrak bekalan ubat bernilai RM1.81 juta daripada anak syarikat Pharmaniaga Bhd, iaitu Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd.

 

Kontrak itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Duopharma, Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd. 

 

Dengan perjanjian terbaharu itu, Duopharma kini telah membekalkan 100 jenis produk kepada kerajaan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM684.15 juta.

 

Ini merupakan kontrak keempat yang diterima Duopharma daripada Pharmaniaga sejak 30 April 2024, bagi membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal di bawah senarai pembelian produk yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Duopharma berkata, kontrak baharu itu akan berjalan sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga tarikh lain yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

"Dari segi prestasi kewangan, Duopharma mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 77.4% kepada RM15.08 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY2024), berbanding RM8.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan hasil 15.62% tahun ke tahun, serta kesan positif awal daripada penyelarasan harga bahan aktif farmaseutikal (API) yang kembali ke paras sebelum pandemik," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Bagi tahun penuh 2024, keuntungan bersih Duopharma meningkat 19% kepada RM62.65 juta, manakala hasil keseluruhan naik 15.46% kepada RM813.7 juta, berbanding RM704.73 juta pada 2023. - DagangNews.com