KUALA LUMPUR 13 Mei – Duopharma Biotech Bhd dijangka mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), disokong kontrak Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) baharu, kata CGS International.
Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih Duopharma bagi 1QFY25, RM25 juta hingga RM30 juta, meningkat 24% hingga 63% berbanding 1QFY24 yang tidak melibatkan kontrak APPL baharu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), keuntungan syarikat dijangka meningkat sekitar 40% tahun ke tahun, disokong sumbangan penuh kontrak APPL baharu, peningktan permintaan ubat-ubatan, dan margin yang lebih baik.
CGS International turut menyifatkan prestasi Pharmaniaga Bhd bagi 1QFY25 sebagai petunjuk positif kepada Duopharma, berikutan pendedahan yang serupa terhadap kontrak APPL.
Pharmaniaga mencatat keuntungan bersih RM29.58 juta bagi 1QFY25, naik 15.3% daripada RM25.65 juta setahun lalu, hasil jualan lebih tinggi dan penjimatan kos operasi sebanyak 2.5%.
Penjimatan itu termasuk pengurangan kos sewaan gudang serta perbelanjaan promosi dan iklan. Pendapatan meningkat 9.4% kepada RM1.06 bilion daripada RM964.96 juta pada 1QFY24, disokong segmen konsesi dan logistik serta pertambahan pesanan dari hospital kerajaan.
CGS International mengekalkan saranan "beli" ke atas Duopharma dengan harga sasaran RM1.55 dan menyifatkan tahap dagangan semasa sebagai menarik.
Saham syarikat kini diniagakan pada 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) berdasarkan unjuran tahun kalendar 2026 (CY26), iaitu 1.3 sisihan piawai di bawah purata tiga tahun pra-Covid pada 15 kali.
"Pemangkin utama termasuk permintaan lebih tinggi dan kos bahan mentah lebih rendah. Risiko termasuk kenaikan harga input serta penurunan permintaan," kata firma penyelidikan itu.
Lima firma penyelidikan yang membuat liputan terhadap saham Duopharma menyarankan "beli" dengan purata harga sasaran RM1.50, menunjukkan potensi kenaikan sehingga 21% daripada harga semasa RM1.24.- DagangNews.com








