KUALA LUMPUR 16 Mei - Pengunjung Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA' 25) berpeluang untuk menyaksikan dua pesawat tempur paling berkuasa di rantau ini.
Pesawat tersebut ialah F-15SG milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Sukhoi SU-30MKM TUDM.
TUDM memperkenalkan corak baharu pada sebuah pesawat Sukhoi SU-30MKM dengan membawa gelaran istimewa iaitu 'Toruk Makto'.
Rekaan corak baharu Jalur Gemilang pada badan pesawat itu diilhamkan daripada makhluk legenda dalam filem Avatar, dikenali sebagai Toruk atau 'The Last Shadow'.
Dalam filem fiksyen tersebut gelaran Toruk Makto diberikan kepada mereka yang berjaya menjinakkan dan mampu menunggang makhluk berkenaan
Dalam dunia nyata pula, juruterbang Sukhoi SU-30MKM mencerminkan semangat yang sama.
Ini kerana pesawat teknologi generasi 4.5 itu memiliki keupayaan supermanuver dan senjata canggih yang bukan sekadar mesin perang, tetapi 'makhluk besi' yang memerlukan pengendali berjiwa besar.


Menariknya juga pada edisi LIMA 2025, Singapura merupakan negara pengguna kelima keluarga Eagle di luar Amerika Syarikat (AS) selain Israel, Jepun, Arab Saudi dan Korea.
Pesawat F-15SG ini akan dipamerkan bersama lain-lain aset negara jiran itu seperti helikopter tempur AH-64D Apache dan CH-47D Chinook.
Ini penyertaan kali kedua F-15SG selepas kali pertama dipertontonkan kepada umum di luar Singapura semasa LIMA 2017 lalu.
Kesudian Singapura menghantar pesawat tempur pelbagai peranan generasi termaju ini juga menunjukkan komitmen negara jiran di selatan pada LIMA.
Ini juga sebagai membalas penyertaan TUDM semasa Singapore Airshow tahun lalu apabila menghantar pesawat Sukhoi SU-30MKM.


Kehadiran F-15G RSAF juga memberi peluang kepada orang ramai khususnya para peminat teknologi avionik selain anggota tentera untuk melihat lebih dekat pesawat tempur canggih ini.
Umum seringkali melihat F-15G untuk bersaing dengan Sukhoi SU-30MKM milik Malaysia, Myanmar (Sukhoi SU-30SM) dan Vietnam (Sukhoi SU-30MK2).

Turut dinantikan ialah penampilan pesawat F/A-18D Hornet ‘Pikachu’ TUDM kerana mempunyai warna tema seperti watak animasi popular dari Jepun itu.

Skim warna kuning berkenaan pula dibuat sempena ulang tahun ke-25 perkhidmatan pesawat berkenaan dalam TUDMm
Walaupun berusia tetapi pesawat ini telah melalui proses penyelenggaraan ‘depot level’ dikenali sebagai ‘Local Planned Maintenance 12 Years’ (LPM-12Y) pada 2023.
Ini telah menjadikan pesawat tersebut seperti baharu kerana dilengkapi dengan pelbagai senjata canggih.
Pada LIMA 2025 kali ini, sebanyak 102 pesawat t dari pelbagai negara akan dipamerkan kepada pengunjung bermula 20 hingga 24 Mei depan.



Daripada jumlah tersebut, 64 buah akan mengambil bahagian dalam pertunjukan udara, melibatkan aksi aerobatik, pertunjukan solo serta acara pembukaan utama termasuk lintas hormat udara.
Antaranya helikopter S-70i Black Hawk milik Tentera Udara Diraja Brunei, Airbus A400M (Jerman), pesawat rondaan maritim P-72A (Itali) dan Lockheed CP-140 (Kanada).



Rusia pula menghantar pesawat pengangkut gergasinya, Ilyushin IL-76 manakala India mempamerkan pesawat Dornier 228.
Tidak ketinggalan Amerika Syarikat yang menampilkan pesawat F/A-18 E/F Super Hornet, Grumman C-2 Greyhound, C-12 Huron, C-130J Hercules dan helikopter MH-60 Seahawk. - DagangNews.com








