Dua pemegang saham utama tuntut penyingkiran tujuh pengarah PeterLabs | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua pemegang saham utama tuntut penyingkiran tujuh pengarah PeterLabs

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Mei - Dua pemegang saham utama PeterLabs Holdings Bhd, memohon untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyingkirkan tujuh pengarah syarikat dan menggantikan mereka dengan dua calon baharu.

 

PeterLabs berkata, permohonan itu dikemukakan oleh Bu Yaw Seng dan Datin Lin Ching Yein, yang sama-sama memiliki lebih 10% pegangan dalam syarikat.

 

"Mereka mencadangkan supaya enam pengarah sedia ada iaitu Lim Tong Seng, Teo Chin Heng, Yap Siaw Peng, Datuk Lim Tai Soon, Datuk Ng Boon Siong dan Ho Siew Li serta Ng Kau, yang merupakan pengarah ganti kepada Boon Siong, digugurkan daripada jawatan masing-masing," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.


 
Jelasnya, mereka juga mencadangkan supaya sesiapa yang dilantik untuk mengisi jawatan kosong sebelum EGM diadakan, turut dibatalkan pelantikannya.

 

PeterLabs memaklumkan, Yaw Seng dan Lin Ching Yein turut menggesa EGM diadakan secepat mungkin dengan notis khas, bagi membolehkan pemegang saham mengundi cadangan penukaran ahli lembaga pengarah.

 

"Mereka mencadangkan Datuk Pua Kim An dan Datuk Seri Garry Chua Kah Seng sebagai pengarah baharu syarikat," ujarnya.

 

PeterLabs berkata, lembaga pengarah akan mengambil tindakan yang perlu selepas mendapat nasihat undang-undang dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa.

 

Tindakan pemegang saham itu berlaku hanya dua hari selepas syarikat menggantung tugas Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar anak syarikat PeterLabs, Thye On Tong Trading Sdn Bhd, Datuk Loh Saw Foong, kerana siasatan dalaman berkaitan dakwaan salah laku. 

 

Penggantungan tersebut bermula pada 13 Mei 2025 selama dua minggu.

 

Saw Foong dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Loh Poh Im tidak tersenarai dalam usul penyingkiran.

 

PeterLabs menjalankan perniagaan menghasilkan, mengedar, mengeksport dan menjual produk kesihatan dan makanan haiwan. - DagangNews.com