KUALA LUMPUR 13 Mei – Dagang NeXchange Bhd (DNeX) meraih kontrak berjumlah AS$1.8 juta (RM8.5 juta) bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif Laluan Makkah bagi musim Haji 2025 di enam lokasi antarabangsa.
Kontrak tersebut melibatkan penyediaan kemudahan serta peralatan teknikal dan teknologi di enam lapangan terbang antarabangsa di Malaysia, Indonesia, dan Turkiye sekali gus mengukuhkan peranan DNeX dalam melancarkan urusan jemaah haji.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, pelantikan semula bagi musim 2025 menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap keupayaan dan komitmen kumpulan.
"Projek ini memberi peluang kepada DNeX untuk menyumbang kepada ibadah Haji serta mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa di ketiga-tiga negara," katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif itu diketuai Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan di bawah Program Pengalaman Jemaah yang menyokong matlamat Wawasan 2030 negara itu.
Ia mempercepatkan proses pra pelepasan imigresen di negara asal jemaah, membolehkan ketibaan lebih lancar ke Arab Saudi dan terus ke penginapan di Makkah dan Madinah tanpa perlu melalui saringan imigresen tambahan.
Enam tapak terlibat ialah Lapangan Terbang Antarabnagsa Kuala Lumpur (Malaysia), Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta (Jakarta, Indonesia), Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda (Surabaya, Indonesia), Lapangan Terbang Adi Soemarmo (Solo, Indonesia), Lapangan Terbang Istanbul (Turkiye), dan Lapangan Terbang Esenboga (Ankara, Turkiye).
Kontrak itu dianugerahkan oleh Elm Company, syarikat milik penuh kerajaan Arab Saudi di bawah Public Investment Fund, yang juga cabang pelaburan Kementerian Kewangan negara tersebut.
Elm merupakan penyedia utama penyelesaian digital untuk perkhidmatan haji dan umrah.
DNeX mula menyertai projek Laluan Makkah sejak 2019 dengan pelaksanaan awal di Malaysia dan Indonesia. Kejayaan pelaksanaan itu membawa kepada penambahan tapak baharu di Turkiye pada 2023 dan 2024.
Syarikat kini optimis untuk meraih lebih banyak lokasi baharu pada musim Haji akan datang, selain bercadang memperluas kerjasama strategik bersama Elm Company dalam sektor pengangkutan dan keselamatan.
Langkah itu selari dengan aspirasi DNeX untuk memperkukuh penglibatan dalam projek teknologi kerajaan serta infrastruktur berskala antarabangsa.- DagangNews.com








