KUALA LUMPUR 6 Okt – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) mencatat beberapa pencapaian utama dalam sektor tenaga yang menandakan perkembangan penting di kedua-dua sektor hiliran dan huluan minyak dan gas di Malaysia.
Melalui anak syarikatnya, OGPC Sdn Bhd, DNeX memperoleh kontrak Proof of Concept (POC) daripada PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) bagi penyelenggaraan penuh peralatan stesen minyak.
Kontrak ini bermula 1 Julai 2025 hingga 1 Julai 2026 dan merangkumi 50 stesen PETRONAS di Lembah Klang.
OGPC akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penggantian alat stesen, pengurusan aset, pasukan pengurusan projek, kerja baik pulih dan naik taraf, laporan prestasi, pengurusan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (HSE), serta perkhidmatan pusat kawalan dan pusat panggilan.
Kontrak PDB ini selaras dengan strategi DNeX untuk mengembangkan kehadiran dalam sektor hiliran minyak dan gas dengan memanfaatkan kepakaran kumpulan dalam menawarkan pakej perkhidmatan melalui model POC sebelum melaksanakan peluang sepenuhnya.
Dalam sektor huluan, DNeX melalui Ping Petroleum Sdn Bhd (PPSB) memperoleh kelulusan Rancangan Pembangunan dan Penamatan Lapangan (FDAP) daripada PETRONAS Malaysia Petroleum Management bagi kluster BETA dan beberapa lapangan yang belum dibangunkan dalam kluster Abu.
Kelulusan ini membolehkan pembangunan lima lapangan yang kini dikenali sebagai Greater Abu Development Area, meningkatkan kapasiti pengeluaran Ping Petroleum di Malaysia.
Lapangan terlibat termasuk Bubu, Enau, Bunga Tasbih, Abu Kecil dan Abu South-West.
Pembangunan ini menggunakan infrastruktur sedia ada, menghasilkan penjimatan kos operasi (OPEX) dan menjadikan projek lebih menguntungkan berbanding membangunkan Abu secara berasingan.
Projek itu termasuk aset Late-Life Asset (LLA) dan Small Field Asset (SFA) di bawah kontrak perkongsian pengeluaran PETRONAS.
Selain kelulusan FDAP, Ping Petroleum turut memperoleh perjanjian pembelian minyak mentah (offtake) daripada PETRONAS Trading Corporation (PETCO) untuk minyak dari lapangan Anasuria di UK dan Abu di Malaysia.

berkata, gabungan kelulusan FDAP dan perjanjian offtake ini menunjukkan kepercayaan PETRONAS terhadap kemampuan Ping Petroleum dalam membangunkan kawasan Greater Abu dan memastikan penghantaran minyak yang berterusan.
“Fasa pembangunan Abu mensasarkan pengeluaran minyak pertama pada 2026 dengan kadar awal dijangka 3,000 tong sehari.
“Strategi ini adalah berdasarkan kejayaan operasi kos rendah DNeX di Kluster Anasuria, UK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DNeX Energy beroperasi melalui dua entiti, PPSB untuk operasi Malaysia dan Ping Petroleum UK PLC untuk operasi di UK, dengan fokus memperluas keberkesanan model operasi kos rendah ke Malaysia.
Dagang NeXchange Berhad merupakan syarikat teknologi global yang beroperasi dalam tiga sektor iaitu semikonduktor, tenaga, dan teknologi maklumat.
Dalam sektor tenaga, DNeX terlibat dalam huluan dan hiliran minyak dan gas, termasuk penyelenggaraan stesen minyak.
Pencapaian ini membuktikan komitmen DNeX untuk mengembangkan perniagaan tenaga secara strategik, memastikan pertumbuhan hasil yang mampan dan memanfaatkan peluang infrastruktur sedia ada untuk menjana keuntungan maksimum. - DagangNews.com








