DKSH Resources rancang ambil alih sepenuhnya DKSH Malaysia dengan tawaran RM6.15 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH Resources rancang ambil alih sepenuhnya DKSH Malaysia dengan tawaran RM6.15 sesaham

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Dis – DKSH Holding Ltd mengemukakan tawaran untuk mengambil alih sepenuhnya DKSH Holdings (Malaysia) Berhad (DHMB) melalui langkah mengecilkan modal terpilih, dalam usaha kumpulan itu menyusun semula struktur korporat global dan seterusnya menyahsenaraikan syarikat tersebut daripada Bursa Malaysia.

 

Tawaran itu dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, DKSH Resources (Malaysia) Sdn Bhd, bagi mengambil alih baki 25.7% saham DHMB yang kini dipegang oleh pemegang saham minoriti. 

 

Langkah itu akan meningkatkan pemilikan DKSH daripada 74.3% kepada 100%.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DKSH di Zurich dan Kuala Lumpur hari ini, proses pengambilalihan akan dilaksanakan melalui mekanisme pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (Selective Capital Reduction - SCR). 

 

Di bawah cadangan SCR itu, pemegang saham minoriti akan menerima bayaran tunai sebanyak RM6.15 sesaham, mewakili premium 16.7% berbanding harga penutup RM5.27 pada 8 Disember 2025.

 

Pelaksanaan SCR ke atas semua saham minoriti melibatkan jumlah tunai kira-kira CHF48.7 juta (Swiss Franc) berdasarkan kadar pertukaran 1 CHF bersamaan RM5.12.

 

DHMB, yang telah tersenarai di Bursa Malaysia sejak 1994, kini memiliki modal pasaran RM830.9 juta (CHF162.3 juta). 

 

DKSH menegaskan langkah mengambil syarikat itu secara persendirian tidak akan memberi kesan kepada operasi semasa mahupun komitmen jangka panjang kumpulan terhadap Malaysia.

 

Pelaksanaan transaksi tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah DHMB untuk membentangkan tawaran kepada pemegang saham minoriti, persetujuan pemegang saham minoriti, serta perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkan SCR dilaksanakan.

 

Sekiranya semua kelulusan diperoleh, proses dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau suku ketiga tahun 2026.

 

DKSH, yang beroperasi dalam 36 pasaran dengan 28,060 kakitangan, mencatat jualan bersih CHF11.1 bilion pada 2024 dan kekal sebagai penyedia perkhidmatan Market Expansion Services terkemuka di rantau Asia. - DagangNews.com