KUALA LUMPUR 11 April - DKSH Malaysia mengumumkan beberapa inisiatif kelestarian baharu bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta meningkatkan kecekapan operasi antaranya memperkenalkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam armada syarikat untuk penghantaran jarak dekat.
Langkah-langkah itu merangkumi rumusan logistik mampan, pembungkusan mesra alam, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pelaksanaan teknologi canggih.
Pengenalan EV ke dalam armada Unit Perniagaan Barangan Pengguna bagi penghantaran jarak dekat oleh DKSH, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Dalam sektor penjagaan kesihatan, DKSH Malaysia Healthcare bekerjasama dengan penyedia logistik terkemuka bagi melaksanakan model logistik balik yang inovatif dan mesra alam.
Model tersebut menggabungkan penggunaan EV dan rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) negara sebagai alternatif penghantaran yang lebih mampan.
Menariknya, sistem berkenaan memanfaatkan kapasiti LRT yang kurang digunakan dan dilengkapi dengan ruang kargo khas serta troli berbahagi, sekali gus membolehkan penghantaran produk sensitif suhu dilakukan dengan cekap tanpa menjejaskan kualiti barangan.
DKSH berkata, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, malah membantu meningkatkan kecekapan penghantaran di kawasan bandar yang sibuk.
Naib Presiden Healthcare dan Ketua Kepimpinan Negara DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata, pihaknya tidak menganggap kelestarian hanya sebagai strategi, ia adalah cara syarikat menjalankan perniagaan.
"Melalui pendekatan seperti logistik hijau, pembungkusan boleh guna semula dan tenaga boleh diperbaharui, kami berusaha membina masa depan yang seimbang antara inovasi dan kelestarian alam," katanya dalam satu kenyataan.
Naib Presiden Barangan Pengguna DKSH Malaysia, Daniel Schwalb pula berkata, pihaknya mengutamakan kelestarian berbanding keuntungan bagi memastikan setiap produk diangkut, menyumbang kepada planet yang lebih sihat dan lestari. - DagangNews.com








