KUALA LUMPUR 16 April – Unit Perniagaan Barangan Pengguna DKSH Malaysia telah memeterai kerjasama strategik bersama Eastroc Beverage (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus dilantik sebagai rakan kongsi dan pengedar sah bagi jenama minuman berkenaan di Semenanjung Malaysia.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh lagi kehadiran jenama Eastroc di saluran perdagangan moden, seiring dengan pertumbuhan berterusan pasaran minuman di negara ini yang dipacu permintaan pengguna.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran secara menyeluruh, merankumi aspek jualan, pengaktifan lapangan, pengedaran, logistik, kredit serta kutipan.
Inisiatif pengedaran itu akan bermula dengan produk utama mereka, Eastroc Energy Beverage, sebelum diperluas kepada rangkaian minuman inovatif yang lain pada masa akan datang.
DKSH, yang telah terbukti berjaya melancarkan dan memperluas pelbagai jenama minuman di pasaran tempatan, akan memanfaatkan jaringan pengedarannya yang luas.
Ia meliputi termasuk pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, rangkaian runcit dan stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus memastikan ketersediaan produk Eastroc di lokasi tumpuan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Eastroc Beverage (Malaysia) Sdn Bhd, Leonard Tan menyuarakan keyakinannya terhadap potensi kerjasama tersebut.
"Sebagai salah satu jenama minuman terkemuka, kami melihat potensi besar untuk berkembang di Malaysia. Dengan kepakaran pasaran dan rangkaian pengedaran kukuh yang dimiliki oleh DKSH, kami yakin dapat mengukuhkan kehadiran jenama kami dan mencapai pertumbuhan mampan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden Barangan Pengguna Bergerak Pantas DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Eastroc Beverage dalam membawa portfolio minuman mereka yang berkualiti dan inovatif kepada pengguna Malaysia.
"Dengan rangkaian pengedaran kami yang luas serta kefahaman mendalam terhadap cita rasa tempatan, kami yakin dapat menyampaikan pengalaman minuman yang menyegarkan, bertenaga, dan istimewa kepada rakyat Malaysia," katanya.
Eastroc Beverage merupakan sebuah syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Shanghai memberi tumpuan kepada penyediaan portfolio minuman pelbagai kategori dan berkualiti tinggi kepada pengguna global.
Syarikat itu komited untuk menjadi antara kumpulan minuman terkemuka dunia dengan menawarkan produk yang inovatif serta menepati kehendak pasaran.
Antara tahun 2018 hingga 2024, Eastroc mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) lebih 20% dalam hasil pendapatan serta lebih 63% dalam keuntungan bersih.
Kini, Eastroc telah mencatatkan hasil melebihi 20 billion menjadikannya sebagai peneraju industri minuman dengan keupayaan pengeluaran berskala besar serta keupayaan kemampanan yang menyeluruh.- DagangNews.com








