DKSH, Etika Fresh Milk jalin kerjasama strategik perluas pasaran Susu Pasteur Goodday di Semenanjung Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH, Etika Fresh Milk jalin kerjasama strategik perluas pasaran Susu Pasteur Goodday di Semenanjung Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Dis – DKSH Malaysia, melalui Unit Perniagaan Barangan Penggunanya, menjalin kerjasama strategik dengan Etika Fresh Milk Sdn Bhd,  bagi memperluas capaian produk Susu Pasteur Goodday ke seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Dalam kenyataan hari ini, DKSH berkata kerjasama tersebut akan menyaksikan syarikat itu menyediakan Perkhidmatan Pengembangan Pasaran secara menyeluruh, merangkumi jualan, pemasaran perdagangan, pengedaran, logistik serta pengurusan kredit dan kutipan untuk rangkaian Susu Pasteur Goodday.

 

Perkongsian itu meliputi saluran runcit dan perkhidmatan makanan, termasuk pasar raya besar terpilih, pasar raya dan kedai utama lain di seluruh Semenanjung. 

 

Menurut DKSH, rangkaian pengedarannya yang luas serta pengetahuan pasaran tempatan akan memperkukuh akses pengguna terhadap produk susu segar berkualiti tinggi.

 

Goodday, jenama tenusu yang lama bertapak di Malaysia, terus menekankan komitmen terhadap kualiti, kesegaran dan rasa yang konsisten, seiring misi jenama itu untuk menyampaikan susu segar dari ladang terus ke pengguna.

 

Naib Presiden Operasi Jualan dan Pemecutan Perniagaan Etika Fresh Milk, Jordan Ng berkata kerjasama ini diyakini mampu memacu pertumbuhan kukuh jenama Goodday.

 

“Dengan kepakaran pasaran DKSH yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti, kami yakin mempunyai rakan kongsi yang berkongsi komitmen kami terhadap kualiti dan kecemerlangan.

 

“Bersama-sama, kami berhasrat menjadikan Susu Pasteur Goodday lebih mudah diakses oleh pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Barangan Pengguna Segera DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata susu segar merupakan komponen penting dalam kehidupan harian dan kerjasama ini bertujuan meningkatkan akses pengguna terhadap produk tenusu berkualiti.

 

“Susu segar sentiasa menjadi keperluan di dapur yang menyatukan keluarga, daripada meja sarapan hingga ke cawan kopi.

 

“Perkongsian syarikat dengan Etika Fresh Milk mencerminkan komitmen DKSH untuk meningkatkan pemakanan harian rakyat Malaysia. Dengan menggabungkan kualiti dipercayai Etika dengan pengedaran kukuh DKSH, syarikat membantu lebih ramai rakyat Malaysia menikmati susu segar dan berkhasiat setiap hari,” katanya.

 

Kerjasama strategik itu sekali lagi menegaskan peranan DKSH sebagai rakan pengembangan pasaran utama bagi jenama tempatan terkemuka, selain memperkukuh usaha menjadikan produk tenusu segar berkualiti tinggi lebih mudah didapati pengguna seluruh negara. - DagangNews.com