Disney Jr Live On Tour gegar Resorts World Genting Ogos ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Disney Jr Live On Tour gegar Resorts World Genting Ogos ini

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Jun – Persembahan muzikal interaktif "Disney Jr Live On Tour: Let’s Play!" bakal menceriakan peminat cilik di Malaysia apabila ia dibawa ke Arena of Stars, Resorts World Genting selama empat hari bermula 29 Ogos hingga 1 September 2025.

 

Acara itu menampilkan lapan persembahan menarik yang menghimpunkan watak-watak ikonik daripada siri popular Disney Jr seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, Ariel The Little Mermaid, SuperKitties, Puppy Dog Pals, dan Team Spidey daripada Spidey and His Amazing Friends.

 

Penerbit Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank berkata, pihaknya amat teruja untuk membawa produksi ini ke Malaysia selepas menerima sambutan hangat di Amerika Syarikat serta kemunculan sulungnya di London.

 

Dengan gabungan nyanyian, tarian, visual 3D dan aksi akrobatik, produksi itu dijangka menghiburkan bukan sahaja kanak-kanak malah seisi keluarga menerusi pengalaman pentas yang penuh warna-warni dan mengasyikkan.

 

Disney_DagangNews2025

 

Dalam persembahan tersebut, Mickey Mouse merancang satu temu janji permainan untuk rakan-rakan di Clubhouse. 

 

Namun, apabila fenomena cuaca hijau misteri mengganggu suasana, Team Spidey tampil menyelamatkan keadaan.

 

Beberapa lagu popular turut dipersembahkan dalam pementasan itu termasuk "Hot Dog!", "Oopsie Kitty" dan "Do the Spidey", menjadikan pengalaman penonton lebih dekat dengan dunia Disney Jr.

 

Persembahan akan berlangsung bermula malam Jumaat, dengan tiga sesi setiap hari pada hujung minggu dan satu sesi pada hari Isnin, sempena cuti umum.

 

Persembahan tersebut dijangka menjadi antara tarikan utama musim cuti sekolah hujung Ogos nanti.

 

Tiket boleh didapati melalui laman sesawang rwgenting.com dan ticketingtix.com. 

 

Malahan, orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi Instagram, Facebook, TikTok serta tanda pagar rasmi #DisneyJrTour.- DagangNews.com