Digital Penang, FinHero bekerjasama bantu PMKS dapatkan akses pembiayaan lebih mudah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Digital Penang, FinHero bekerjasama bantu PMKS dapatkan akses pembiayaan lebih mudah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 7 Mei – Digital Penang dan FinHero memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Pulau Pinang mendapatkan akses pembiayaan yang lebih mudah dan fleksibel.

 

Kerjasama itu menyokong usaha Digital Penang mempercepatkan ekonomi digital negeri menerusi pembiayaan alternatif berasaskan digital dan latihan kepada pemilik perniagaan agar lebih yakin menggunakannya.

 

Ia juga selari dengan visi Penang 2030 "Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga" dengan menekankan inovasi dan pendidikan kewangan sebagai cara untuk merapatkan jurang pembiayaan tradisional.

 

Menerusi perjanjian itu, Digital Penang dan FinHero akan melancarkan program bagi membantu PMKS memahami dan mengakses alat kewangan digital seperti automasi berasaskan AI, pemarkahan kredit alternatif, dan model pembiayaan perkongsian hasil.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi Digital Penang, Zairil Khir Johari berkata, kerjasama tersebut membuktikan komitmen bersama untuk memastikan akses kepada pembiayaan digital dan pendidikan kewangan sampai ke semua lapisan komuniti perniagaan.

 

"Inovasi inklusif adalah asas kepada ekonomi masa depan yang berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

FinHero akan menyumbang kepakarannya dengan menawarkan pembiayaan mesra perniagaan seperti pembiayaan berasaskan invois dan pelan bayaran balik fleksibel. 

 

FinXtract turut menyokong penerapan digital dengan mengautomasikan pengekstrakan data serta memudahkan tugasan berulang, sekali gus menjimatkan masa dan sumber untuk usahawan.

 

Bengkel dan seminar bulanan turut dibincang bagi memperkenalkan aplikasi fintech yang praktikal serta membina kesedaran mengenai strategi kewangan yang lebih bijak.

 

Digital Penang memainkan peranan utama dalam usaha libat urus dan fasilitasi ekosistem dengan menghubungkan FinHero kepada rangkaian PMKS serta persatuan perniagaan, selain menyelaras sesi pendidikan, agar manfaat kerjasama itu disalurkan kepada golongan yang memerlukannya.

 

Inisiatif itu turut menyokong matlamat Digital Penang dalam memperkukuh ekonomi inovasi negeri dan memupuk masyarakat celik digital.- DagangNews.com