KUALA LUMPUR 14 April - Peneraju global dalam logistik kontrak, DHL Supply Chain, dilantik oleh syarikat teknologi dan perkhidmatan terkemuka dunia, Bosch Malaysia, untuk mengurus operasi Pusat Agihan (DC) di Shah Alam.
Pusat itu akan mengendalikan pengedaran barangan pengguna, produk berkaitan kenderaan dan komponen, terutamanya untuk pasaran tempatan dan ke pasaran serantau.
Pusat agihan tersebut turut berpotensi menyepadukan teknologi Industri 4.0 seperti Kenderaan Pandu Automatik (AGV), sistem Pick-to-Light dan Put-to-Light, serta penjejakan inventori masa nyata bagi memberikan fleksibiliti kepada pelbagai keperluan perniagaan.
Menurut Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz, kerjasama berkenaan dibuat ketika rantaian bekalan global semakin mencabar dan Malaysia sedang muncul sebagai hab logistik utama di Asia Tenggara.
"Kami komited menyediakan rumusan yang disesuaikan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing pelanggan, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah itu turut sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi peneraju ekonomi digital dan teknologi Industri 4.0.
DHL Supply Chain Malaysia juga terus meluaskan kapasiti dan membangunkan bakat tempatan bagi menyokong keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
Antara inisiatif terbaharu termasuk pelancaran Penang Logistics Hub 5, sebuah kemudahan seluas 22,000 meter persegi yang menempatkan penggunaan pertama secara global bagi robotik ACR (Automated Case-handling Robot) dan sistem Goods-to-Person (GTPR), serta Sistem Penyimpanan & Pengambilan Automatik (ASRS).
Hab logistik tersebut dibina khas untuk menyokong operasi syarikat teknologi multinasional dan terletak di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, hanya beberapa minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. - DagangNews.com








