DHL Supply Chain Malaysia dilantik sebagai pengurus hab pengedaran serantau Danfoss | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DHL Supply Chain Malaysia dilantik sebagai pengurus hab pengedaran serantau Danfoss

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt – DHL Supply Chain Malaysia dilantik oleh Danfoss, dari Denmark sebagai pengurus pusat pengedaran serantau (Regional Distribution Cebtre-RDC) untuk menguruskan operasi logistik dan pengedaran syarikat itu di Malaysia.

 

DHL dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu adalah komitmen Danfoss untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, kecekapan operasi serta kelestarian di seluruh Asia. 

 

“RDC baharu ini akan berperanan sebagai hab logistik utama bagi produk Danfoss ke Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik. 

 

“Dengan kepakaran global DHL dalam bidang logistik, teknologi gudang canggih serta rangkaian serantau yang luas, RDC ini akan membantu melancarkan operasi, mempercepatkan masa penghantaran dan kecekapan perkhidmatan yang lebih bermakna kepada pelanggan,” katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Logistik Global Danfoss, Dan Bruun berkata, projek ini merupakan langkah strategik penting bagi syarikat di rantau Asia Pasifik. 

 

“Kami amat menantikan kerjasama rapat dengan DHL Supply Chain Malaysia. Projek ini merupakan satu jejak penting bagi kami di rantau Asia Pasifik dan kami yakin hasilnya akan memberi manfaat besar kepada pelanggan kami,” katanya.

 

t

 

Bagi Pengarah Urusan DHL Supply Chain Malaysia, Mario Lorenz pula, pihaknya berbangga kerana diberi kepercayaan untuk mengurus hab pengedaran serantau Danfoss di Malaysia.

 

“Dengan kepakaran kami dalam logistik kontrak, penyelesaian gudang berteknologi tinggi dan fokus terhadap kelestarian, kami komited untuk menyokong pertumbuhan Danfoss serta memastikan rantaian bekalan yang kukuh dan berdaya tahan di seluruh rantau ini,” katanya.

 

Perkongsian strategik ini mengukuhkan tumpuan Danfoss dalam menyediakan penyelesaian inovatif dan mampan kepada pelanggan, di samping memperkukuh kedudukan DHL Supply Chain sebagai rakan logistik pilihan utama bagi pengeluar global.

 

DHL ialah jenama global terkemuka dalam industri logistik yang menawarkan perkhidmatan penghantaran bungkusan domestik dan antarabangsa.

 

Ia menawarkan perkhidmatan ekspres antarabangsa, pengangkutan darat, udara dan laut serta pengurusan rantaian bekalan industri.

 

Dengan kira-kira 400,000 kakitangan di lebih 220 negara dan wilayah di seluruh dunia, DHL menghubungkan manusia dan perniagaan dengan selamat dan boleh dipercayai, sekali gus membolehkan aliran perdagangan global yang mampan. - DagangNews.com