KUALA LUMPUR 3 Dis – Deleum Berhad dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh bagi segmen penyelenggaraan dan perkhidmatan peralatan selepas anak syarikat tidak langsung milik peratusnya, Turboservices Sdn Bhd, memperoleh kontrak enam tahun daripada PETRONAS Carigali, kata MBSB Research.
Kontrak tersebut bermula pada 8 November 2025 dan berpotensi dilanjutkan selama tiga tahun tambahan.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kontrak itu memberikan rangsangan penting kepada segmen penyelenggaraan dan perkhidmatan peralatan (P&M) yang kini menghadapi pertumbuhan perlahan akibat persekitaran pasaran mencabar dalam industri hulu minyak dan gas domestik.
Skop kerja kontrak meliputi pembekalan alat ganti asli OEM, perkhidmatan lapangan untuk penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan, penyelesaian masalah, sokongan kejuruteraan dan teknikal, serta kerja overhaul besar, baik pulih dan pembaikan.
Ia juga termasuk naik taraf sistem kritikal untuk turbo turbin solar yang digunakan PETRONAS Carigali.
MBSB Research berkata, walaupun nilai kewangan kontrak tidak didedahkan, ia bakal memberikan kesan positif kepada pendapatan dan prestasi segmen P&M Deleum, yang menyumbang 73 peratus daripada jumlah hasil sembilan bulan pertama FY25.
“Baki 27% pula datang daripada segmen Oilfield Integrated Services (OIS). Kami positif terhadap perkembangan ini kerana kontrak tersebut dijangka memberi manfaat P&M Deleum.
“Pada masa ini, segmen P&M menunjukkan pertumbuhan agak perlahan disebabkan keadaan pasaran mencabar dalam industri hulu minyak dan gas domestik, di mana harga minyak dijangka kekal rendah dan menjejaskan perbelanjaan modal.
“Dengan pengumuman kontrak terkini, ini dijangka memberi rangsangan penting kepada segmen tersebut,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Syarikat itu kini mempunyai buku pesanan bernilai RM1.51 bilion, memberikan jaminan pendapatan yang jelas untuk lebih satu tahun akan datang.
Daripada jumlah itu, 79 peratus terdiri daripada projek OIS manakala baki 21 peratus daripada segmen P&M.
“Selain itu, terdapat projek tender bernilai RM492 juta dengan kadar kejayaan dianggarkan 50%. Pengiraan kasar menunjukkan bahawa buku pesanan Deleum mungkin meningkat kepada RM1.8 bilion selepas mengambil kira kemungkinan kontrak daripada tender semasa,” kata firma tersebut.
Untuk memacu pertumbuhan di pasaran berkembang, terutamanya di Asia Tenggara, Deleum sedang secara strategik mencari peluang pengambilalihan yang menarik.
Pengurusan menekankan komitmen mereka untuk mengenal pasti syarikat yang dinilai rendah dan boleh digabungkan secara lancar bagi meningkatkan sinergi operasi sedia ada.
Walaupun positif terhadap perkembangan ini, MBSB Research berkata, tiada perubahan dibuat pada anggaran keuntungan kerana tiada maklumat terperinci mengenai nilai kontrak pada masa ini.
“Kami mengekalkan saranan Beli untuk Deleum dengan sasaran harga RM1.92, berdasarkan PER 9.5 kali kepada EPS 25 sen bagi tahun kewangan 2025,” katanya. - DagangNews.com








