KUALA TERENGGANU 6 Okt – Terengganu terus memperkukuh langkah ke arah menjadi hab tenaga hijau utama negara apabila delegasi kerajaan negeri berkun jung ke IHI Powerplant Systems Co. Ltd di Hyogo, Osaka, Jepun, bagi meninjau teknologi ammonia yang berpotensi dibangunkan di negeri itu.
Lawatan itu bertujuan menilai secara dekat kepakaran Jepun dalam membangunkan teknologi penjanaan tenaga berasaskan ammonia yang kini dilihat sebagai sumber tenaga alternatif masa depan selain hidrogen dan solar.
Loji IHI Power itu adalah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama bagi teknologi pembakaran ammonia di mana ammonia digunakan sebagai bahan api bersih untuk penjanaan tenaga elektrik tanpa pelepasan karbon.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, delegasi negeri diberi taklimat terperinci dan pembentangan mengenai operasi syarikat.
“Hasil lawatan mendapati pelan pembangunan ammonia boleh diwujudkan di Terengganu, selaras dengan hasrat menjadikan negeri sebagai peneraju teknologi hijau di Malaysia.
“Keperluan tenaga domestik Terengganu ketika ini hanya sekitar 400 megawatt (MW), namun kita berpotensi menjana lebih 3 gigawatt (GW) tenaga bersih melalui gabungan projek solar, hidrogen dan ammonia.
“Ini membolehkan Terengganu menjadi pengeksport tenaga hijau ke negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain melawat Muzium Carbon Solution, delegasi tersebut juga menghadiri sesi demonstrasi teknikal dan meninjau bahagian turbin gas milik IHI Powerplant.
Tambahnya, pembangunan tenaga hijau bukan sahaja akan membawa teknologi baharu dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta memberi manfaat besar kepada alam sekitar.
“Dengan tiga tonggak utama, solar, hidrogen hijau dan ammonia hijau, Terengganu berada di kedudukan strategik untuk menjadi pemain utama industri tenaga hijau negara,” katanya.
Beliau berkata, ammonia mempunyai kelebihan berbanding hidrogen gas dari segi kos dan kecekapan penghantaran, menjadikannya pilihan lebih praktikal untuk pelaksanaan jangka panjang.
“Jika hidrogen gas memerlukan tekanan sehingga 700 PSI untuk dihantar, ammonia dalam bentuk cecair jauh lebih mudah dan murah untuk diangkut.
“Dengan teknologi terkini, ammonia juga boleh terus dijadikan tenaga tanpa perlu ditukar semula kepada hidrogen,” katanya. - DagangNews.com








