Delegasi Johor bertemu 6 syarikat gergasi AS bincang hala tuju pelaburan teknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Delegasi Johor bertemu 6 syarikat gergasi AS bincang hala tuju pelaburan teknologi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Kerajaan Johor terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi melalui lawatan kerja delegasi negeri ke Amerika Syarikat, yang membuka peluang kerjasama dan pelaburan daripada syarikat global.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, lawatan itu membolehkan delegasi Johor bertemu dengan syarikat-syarikat gergasi yang telah melabur serta merancang pelaburan baharu di negeri itu.

 

“Pertemuan bersama syarikat-syarikat ini amat penting kerana ia mengukuhkan kedudukan Johor dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, penyelidikan saintifik dan inovasi digital.

 

“Kesemua pelaburan ini bukan sahaja bernilai tinggi, tetapi turut membuka peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi serta peluang kerjasama untuk PKS tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Antara syarikat yang ditemui termasuk Super Micro Computer Inc, gergasi teknologi global dari Silicon Valley yang membuka hab operasi Asia di Senai Airport City dengan pusat R&D dan inovasi bertaraf dunia.

 

t

 

Beliau berkata, delegasi Johor juga berpeluang mengadakan pertemuan dengan Brooks Automation yang melabur RM100 juta di Pasir Gudang, yang mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan melibatkan vendor tempatan.

 

“Kami juga ke Pivotal Systems Corporation yang merancang penubuhan pusat penyelidikan & pembangunan serantau dan automasi berasaskan AI.

 

“Selain itu, Keysight Technologies yang sedang meneroka peluang pelaburan melalui Johor Silicon-Industrial Special Economic Zone (JS-SEZ),” katanya.

 

Pertemuan turut diadakan dengan OpenAI Inc. membincangkan kerjasama strategik bagi penerapan AI untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan dan produktiviti ekonomi negeri. 

 

Tambahnya, hasil perbincangan dengan Bruker Corporation pula berminat mengembangkan operasi saintifik dan diagnostik ke Johor.

 

“Melalui rangkaian kerjasama ini, Johor diyakini akan terus muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur antarabangsa serta hab teknologi serantau.

 

“Semoga segala usaha ini memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat Johor, seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030," katanya. - DagangNews.com