Defisit fiskal diramal menyusut kepada 3.4% di bawah Belanjawan 2026, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Defisit fiskal diramal menyusut kepada 3.4% di bawah Belanjawan 2026, kata penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Belanjawan 2026 dijangka merangka laluan penyatuan fiskal berterusan dengan sasaran defisit 3.4% berbanding 3.8% pada 2025, menurut CGS International.

 

Perkara itu akan disokong pertumbuhan hasil kerajaan yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6% pada 2026, berbanding 4.2% tahun ini.

 

"Di sebalik merit ekonomi daripada penyatuan fiskal yang bertanggungjawab, pihaknya percaya terdapat juga implikasi positif terhadap pasaran saham – jika berpandukan sejarah,” katanya dalam satu nota kajian.

 

CGS International berkata, ia tidak menjangkakan Belanjawan 2026 akan memperkenalkan kejutan cukai utama memandangkan kebanyakan langkah reformasi ekonomi penting telah diumumkan, selain defisit fiskal kekal berada di landasan untuk turun di bawah 3% menjelang 2030.

 

"Memandangkan terdapat deretan pilihan raya negeri termasuk di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor dari sekarang sehingga separuh pertama 2027, kami menjangkakan Belanjawan 2026 akan bersifat mesra rakyat,” katanya.

 

Seperti belanjawan-belanjawan terdahulu, firma penyelidikan itu menjangkakan terdapat peningkatan tambahan bantuan tunai di bawah skim ‘Rahmah’, yang telah mencapai rekod RM15 bilion tahun ini.

 

“Minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara memberi bayangan mengenai kemungkinan insentif tambahan, khususnya untuk penjawat awam. Jangkaan kami ialah ia mungkin melibatkan peruntukan bonus, seakan-akan tahun 2012, serta kenaikan gaji yang lebih tinggi berbanding kadar semasa 3% hingga 7% yang ditetapkan bermula Januari 2026,” katanya.

 

Selaras dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, CGS International turut menjangkakan langkah-langkah untuk meningkatkan ketibaan pelancong, dengan sasaran rekod 35.6 juta pelawat.

 

Jangkaan lain termasuk perbelanjaan pembangunan yang kekal tinggi, kemungkinan penyesuaian semula insentif kenderaan elektrik, peruntukan kesihatan yang lebih besar, serta kajian semula levi keuntungan durian runtuh terhadap kelapa sawit.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun memberi amaran mengenai pelaksanaan mekanisme levi berperingkat ke atas pekerja asing pada 2026, yang mungkin memberi kesan kepada sektor yang bergantung kepada  tenaga kerja asing seperti pembinaan, perkhidmatan pembuatan elektronik, sarung tangan dan perladangan.

 

Bagi sektor hartanah, risiko mungkin timbul daripada cadangan kerajaan untuk mewajibkan model “bina dahulu, jual kemudian”, meskipun CGS International percaya terdapat halangan dalam pelaksanaan jangka masa dekat.

 

“Kerajaan merancang melaksanakan cukai karbon pada 2026 khususnya melibatkan sektor utiliti. Kami percaya ia boleh dipindahkan melalui kenaikan harga elektrik, dengan anggaran peningkatan kurang daripada dua peratus dalam tarif asas semasa.

 

“Selain itu, cadangan cukai pro-kesihatan mungkin memberi kesan kepada minuman beralkohol dan bergula,” katanya.- DagangNews.com