KUALA LUMPUR 18 Sept – Daythree Digital Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Daythree Business Services Sdn Bhd (DBSSB) menandatangani perjanjian kerjasama dengan FPT Software Malaysia Sdn Bhd, iaitu anak syarikat FPT, kumpulan teknologi terkemuka dari Vietnam.
Kerjasama itu diumumkan pada 17 September 2025 untuk memperluas keupayaan kedua-dua pihak dalam menyediakan pengalaman pelanggan generasi baharu, transformasi digital serta perkhidmatan teknologi kepada pelanggan merentas industri dan pasaran global.
Daythree turut menandatangani Perjanjian Langganan Saham (Subscription Agreement) dengan FPT Software Malaysia, yang membolehkan syarikat Vietnam itu memperoleh 10% kepentingan ekuiti diperbesarkan dalam Daythree.
Pelaburan tersebut bakal menyediakan modal baharu untuk Daythree mengembangkan projek, membida kontrak lebih besar dan memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.
Ditubuhkan di Malaysia, Daythree telah berkembang menjadi rakan strategik pilihan kepada pelanggan global merentasi pelbagai sektor.
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan Global Business Services yang meliputi BPS, penyumberan luar IT dan perkhidmatan proses pengetahuan, memfokuskan ‘AI-first’ yang menggabungkan automasi, kecerdasan data dan kepakaran manusia.
Perjanjian Kerjasama dengan FPT akan menumpukan kepada projek dalam bidang telekomunikasi, tenaga dan utiliti, teknologi kewangan, perbankan, insurans, pelancongan, pengangkutan, logistik, hospitaliti dan penjagaan kesihatan, dengan tumpuan utama di Asia Pasifik (APAC) serta pasaran antarabangsa lain.

Pengasas dan Pengarah Urusan Daythree, Raymond Davadass berkata, kerjasama tersebut merupakan contoh gabungan strategik yang bakal membentuk masa depan industri.
“Kerjasama ini menggabungkan skala dan teknologi FPT dengan model perkhidmatan proses perniagaan berteraskan AI milik Daythree, sekali gus mewujudkan platform dengan kredibiliti tinggi untuk berkhidmat kepada pelanggan global.
“Komitmen ekuiti ini mengukuhkan keseriusan hubungan tersebut dan menguatkan kemampuan kami untuk merebut peluang lebih besar dengan yakin.
“Bagi Daythree, ini bukan sahaja soal pertumbuhan, tetapi tentang membentuk evolusi perkhidmatan proses perniagaan global dalam era di mana AI dan keupayaan manusia perlu bergerak seiring,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Daythree berhasrat memperkukuh kehadiran di pasaran serantau dan antarabangsa melalui pertumbuhan organik serta kerjasama strategik, sambil terus melabur dalam penyelesaian berasaskan AI, memperluas pangkalan pelanggan dan meneroka peluang inovasi jangka panjang.
“Langkah ini adalah selaras aspirasi Daythree untuk mendefinisikan semula peranan BPS dalam ekonomi digital serta menempatkan dirinya sebagai penyedia perkhidmatan perniagaan yang progresif di rantau ini.
“Kerjasama ini mencerminkan perubahan besar dalam industri, apabila syarikat global semakin memerlukan rakan strategik yang mampu menggabungkan skala operasi dengan integrasi teknologi canggih,” katanya.
Dengan kedudukan sebagai penyedia BPS berteraskan AI, Daythree menawarkan penyelesaian bersepadu melalui automasi, analitik dan kepakaran manusia, manakala FPT menambah nilai melalui capaian antarabangsa dan teknologi mendalam.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Kanan serta Ketua Pegawai Kewangan dan Pegawai Operasi Kumpulan FPT, Nguyen Khai Hoan berkata, peningkatan penggunaan teknologi canggih seperti AI, automasi dan pengkomputeran awan mendorong permintaan terhadap BPS di rantau APAC.
“Dengan rangkaian dan kepakaran yang luas, FPT dan Daythree berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang besar di sini, memberikan nilai lebih tinggi kepada pelanggan serta mempercepatkan trajektori pertumbuhan jangka panjang kami.
“Kerjasama ini juga seiring pelan FPT yang menyasarkan segmen BPS untuk menyumbang tambahan 10% kepada pertumbuhan hasil syarikat dalam jangka masa terdekat, selaras dengan peta pembangunan korporat kami,” katanya.
Daythree pula memasuki kerjasama ini daripada kedudukan kewangan kukuh dengan sifar pinjaman setakat Jun 2025 serta rizab tunai yang stabil.
Strategi pelaburan ini membolehkannya melaksanakan peluang pertumbuhan dengan lebih agresif dengan mengekalkan disiplin kewangan.
FPT merupakan kumpulan teknologi utama Vietnam dengan operasi di lebih 30 negara. Pada 2024, FPT melaporkan hasil sebanyak AS$2.47 bilion dengan lebih 54,000 pekerja.
Segmen perkhidmatan IT global sahaja menyumbang lebih AS$1.2 bilion, merangkumi transformasi digital, AI, pengkomputeran awan, kejuruteraan produk serta perisian automotif.
Syarikat itu turut dinamakan sebagai Syarikat Perkhidmatan IT Terbesar dalam senarai Fortune 500 Asia Tenggara bagi 2024 dan 2025. - DagangNews.com








