KUALA LUMPUR 11 Jun - DayOne Data Centres berjaya meraih pembiayaan pelbagai mata wang bernilai RM15 bilion untuk membangunkan pusat data hijau di Johor.
Pembiayaan tersebut terdiri daripada RM7.5 bilion pembiayaan terma murabahah dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM7.2 bilion.
Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
OCBC Bank dan syarikat induknya, Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd yang berpusat di Singapura, bertindak sebagai penyelaras bersama serta penaja utama dan penasihat kewangan hijau bagi pembiayaan berkenaan.
OCBC berkata, sebahagian daripada pembiayaan itu akan digunakan untuk membiayai semula dan menampung kos pembinaan pusat data DayOne di Johor yang telah atau dijangka akan mendapat pensijilan LEED 'Gold' atau lebih tinggi daripada US Green Building Council.
Ia menetapkan satu penanda aras baharu bagi pembangunan infrastruktur digital hijau di Malaysia.
DayOne, yang disokong oleh pelabur institusi utama, menggunakan teknologi milik sendiri, rangkaian bekalan global, kerjasama dengan pelanggan dan kepakaran pengurusan bagi membina infrastruktur digital yang boleh dikembangkan mengikut keperluan.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, sebagai antara kumpulan kewangan terbesar di rantau ini, kekuatan OCBC di peringkat serantau membolehkan bank itu menyokong pembiayaan dalam dan luar negara untuk projek penting berkenaan.
"Sebagai penaja utama, kami memberikan komitmen pembiayaan antara yang terbesar kepada DayOne.
"Ini menunjukkan komitmen kami untuk menyokong masa depan yang mampan, sejajar dengan peranan kami dalam kewangan yang bertanggungjawab," jelasnya.
Pembangunan pusat data hijau itu dijangka mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat teknologi dan digital utama di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan lestari negara. - DagangNews.com








