KUALA LUMPUR 22 Ogos - Dayang Enterprise Holdings Bhd dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun 2025 (2H25), disokong peningkatan tempahan kerja selaras dengan pemulihan dalam aktiviti huluan industri minyak dan gas (O&G).
RHB Research berkata, kumpulan itu mencatatkan prestasi perlahan pada separuh pertama tahun ini (1H25), dengan keuntungan teras yang berada di bawah jangkaan akibat sumbangan yang lemah daripada perkhidmatan penyelenggaraan serta kadar penggunaan kapal yang rendah.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu yakin prestasi Dayang bertambah baik pada separuh kedua tahun ini.
“Kami menjangkakan pesanan kerja akan meningkat pada separuh kedua 2025 seiring dengan pemulihan berperingkat dalam aktiviti luar pesisir. Ia akan menyokong kedua-dua segmen perkhidmatan penyelenggaran dan marin,” katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) susut kepada RM76.64 juta berbanding RM131.44 juta pada 2QFY24.
Hasil suku tahunan pula menurun kepada RM267.35 juta daripada RM455.84 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak sedia ada kumpulan itu dianggar bernilai RM5 bilion menunjukkan potensi aktiviti kukuh dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, kumpulan itu masih berdepan cabaran termasuk ketiadaan kontrak penyambung dan pentauliahan (HUC) yang telah tamat tempoh tahun lalu, serta kekangan dari segi ketersediaan kapal.
Katanya, anak syarika Dayang, Perdana Petroleum, dijangka mencatat kadar penggunaan kapal yang lebih tinggi pada 2H25, didorong lebih banyak kontrak jangka panjang serta kadar sewa harian yang stabil berikutan kekurangan bekalan kapal luar pesisir di pasaran.
"Dayang dilaporkan sedang mengambil langkah berhati-hati dengan mengekalkan tunai bagi menyokong program pembaharuan dan penambahbaikan armada, sebagai persediaan jangka panjang," katanya.
Walaupun unjuran pendapatan bagi FY25-FY27 telah diturunkan, RHB Research masih mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.13 sesaham.
Keyakinan pelabur kekal tinggi dan percaya kedudukan strategik Dayang serta perniagaan penyelenggaraan yang berdaya tahan akan membolehkannya mengambil peluang daripada pemulihan aktiviti luar pesisir yang sedang berlaku. - DagangNews.com








