KUALA LUMPUR 28 Julai - Datuk Gan Kong Hiok muncul sebagai pemegang saham utama Kinergy Advancement Berhad (KAB) selepas memiliki pegangan sebanyak 6.05% dalam syarikat itu.
Saham itu dibeli daripada Kington Tong Kum Loong, mengurangkan pegangan langsungnya dalam syarikat itu kepada 4.39% atau 93.39 juta saham.
Kington juga merupakan memegang pegangan tidak langsung sebanyak 1.48% atau 31.49 juta saham dalam syarikat itu, yang terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal serta penyelesaian tenaga mampan.
Beliau merupakan individu yang cukup dikenali dalam dunia korporat dengan falsafah pelaburan yang berdisiplin serta komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang.
Beliau memiliki kelulusan akademik dari University of Aston dan Oxford, dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan di PK Resources Berhad, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pengembangan syarikat tersebut sebelum meletakkan jawatan pada 2007.
Ketika ini, Kong Hiok terlibar secara aktif sebagai pelabur utama dan ahli lembaga pengarah dalam beberapa syarikat termasuk Nextgreen Global Berhad iaitu syarikat teknologi hijau terkemuka dengan pegangan saham lebih 12%.
"Dikenali kerana memiliki kesabaran, pendekatan strategik serta keyakinan tinggi terhadap sektor transformasi seperti teknologi hijau, Kong Hiok memperlihatkan falsafah pelaburan yang memberi fokus kepada syarikat dengan trajektori pertumbuhan jangka panjang.
"Usaha beliau dalam mencari perniagaan berpotensi untuk pertumbuhan mampan memperkukuh keyakinan terhadap arah strategik syarikat dan memperkuat kedudukan dalam industrinya," katanya KAB dalam satu kenyataan. - DagangNews.com








