KUALA LUMPUR 3 Dis – Berjaya Food Holdings Bhd (BFood) dijangka menstrukturkan semula rangkaian peruncitannya apabila memiliki hanya 287 outlet Starbucks Malaysia ketika ini, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Starbucks pertama mula dibuka di Kuala Lumpur pada 17 Disember 1998 dan sejak itu, BFood telah berkembang kepada sekitar 400 outlet di seluruh negara.
Pada Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif BFood, Datuk Sydney Quay dilaporkan berkata, 20 outlet ditutup secara tetap disebabkan pertimbangan perniagaan dan tamat tempoh sewa, manakala hampir 30 kedai ditutup sementara terutamanya di Kelantan dan Terengganu.
Menurut Bussiness Times, sumber yang rapat dengan Starbucks Malaysia melaporkan, penutupan baru-baru ini melibatkan outlet di Subang Parade dan Paradigm Mall, walaupun lokasi tersebut dianggap berpotensi tinggi.
“Keputusan penutupan kadangkala dipengaruhi oleh kenaikan sewa oleh pemilik bangunan atau rancangan untuk berpindah ke premis yang lebih besar,” menurut sumber itu, lapor Business Times.
Sementara itu, HLIB menyatakan pihak pengurusan sedang melaksanakan pengembangan terpilih, menyasarkan kira-kira 10 kedai bersaiz lebih kecil.
“Fokus utama pengembangan adalah pada pengukuhan rangkaian, kecekapan operasi, produktiviti tenaga kerja dan pemasaran yang berdisiplin.
“Walaupun menghadapi ketegangan geopolitik dan persaingan daripada rangkaian kopi tempatan dan China yang berkembang pesat, pertumbuhan jualan di kedai yang sama (SSSG) menunjukkan pertumbuhan positif, iaitu +7 peratus untuk Starbucks Malaysia dan +5 peratus untuk Brunei.
“Prestasi awal di Iceland, di mana kumpulan itu kini mengendalikan dua kedai, turut menunjukkan perkembangan menggalakkan,” kata HLIB.
Selain Starbucks Malaysia dan Brunei, BFood turut mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters (KRR) dan Paris Baguette di Malaysia serta Paris Baguette di Filipina.
Bilangan kedai KRR menurun kepada 37 outlet selepas 3 penutupan, manakala Paris Baguette kekal stabil pada 16 kedai.
BFood mencatat hasil sebanyak RM128.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 (Q1 FY26), meningkat 11 peratus suku ke suku dan 3 peratus tahun ke tahun.
Kerugian berkurangan kepada RM16.2 juta berbanding RM33.7 juta setahun sebelumnya, melebihi jangkaan HLIB dan konsensus pasaran.
Pemulihan margin dicapai melalui langkah penjimatan kos, penstrukturan semula kedai, dan pengurangan susut nilai.
Tiada dividen diumumkan pada suku tersebut.
HLIB menjangkakan kerugian FY26 dan FY27 akan terus berkurangan kepada RM44.6 juta dan RM22.7 juta masing-masing, namun CIMB Securities memberi amaran bahawa kerugian separuh tahun mungkin meningkat pada separuh kedua FY26 kerana persaingan, tekanan operasi, dan potensi kos pemasaran.








