Dakwaan parti liar di kem tentera: MINDEF jalankan siasatan menyeluruh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dakwaan parti liar di kem tentera: MINDEF jalankan siasatan menyeluruh

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan – Kementerian Pertahanan telah mengarahkan siasatan dalaman segera dijalankan susulan dakwaan terdapat salah laku di beberapa kem tentera termasuk kemasukan individu tidak berkaitan tanpa kebenaran dan berlakunya aktiviti tidak bermoral seperti yang tular di media sosial.

 

Kementerian Pertahanan memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut.

 

“Kementerian menegaskan dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

 

“Jika dakwaan terbukti benar, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak mengikut peraturan, prosedur dan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi.

 

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan ATM,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

 

Isu tersebut timbul selepas tular di media sosial terdapat aktiviti tidak bermoral berlaku di kem tentera termasuk membawa orang awam ke kem untuk tujuan tersebut.

 

Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan terus berada pada tahap tertinggi dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej institusi pertahanan negara. - DagangNews.com