DagangHalal pacu perdagangan halal dunia melalui MIHAS 2025 dan Pavilion Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DagangHalal pacu perdagangan halal dunia melalui MIHAS 2025 dan Pavilion Jepun

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept –DagangHalal kini melangkah ke pentas global sebagai pemacu utama perdagangan halal dunia apabila dilantik sebagai media rasmi Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2025) sebagai akses ke pasaran global.

 

Syarikat yang menyediakan platform  digital halal terbesar dunia itu berkata, sebagai media rasmi, pihaknya memanfaatkan pasaran B2B globalnya untuk mempromosikan pameran dan pempamer yang menyertai MIHAS 2025.

 

“DagangHalal juga menjadi platform antara pembeli dan pembekal halal yang disahkan di seluruh dunia dengan memudahkan proses mendapatkan bekalan, pematuhan serta pembayaran.

 

“MIHAS telah menjadi batu asas kepimpinan halal Malaysia di peringkat antarabangsa. 

 

“Kami berbangga diberi kepercayaan untuk menyokong MIHAS 2025 dengan menyediakan capaian digital lebih meluas serta peluang padanan perniagaan sepanjang tahun,” menurut DagangHalal dalam kenyataan.

 

MIHAS 2025 menarik penyertaan pembeli dan pempamer dari lebih 100 negara.

 

Dianjurkan setiap tahun oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIHAS sudah sinonim dengan DagangHalal sebagai platform paling berpengaruh dalam menghubungkan penggiat industri halal global.

 

Dengan nilai industri halal dunia dijangka mencecah AS$3.27 trilion menjelang 2028, MIHAS menjadi titik tumpuan utama bagi memacu pertumbuhan, inovasi dan kolaborasi rentas sempadan dalam sektor makanan, barangan pengguna, farmaseutikal, kewangan dan gaya hidup.

 


Lebih menarik, DagangHalal turut memeterai kerjasama dengan Japan External Trade Organization (JETRO) untuk melancarkan Pavilion Eksport Halal Jepun secara digital. 

 

Pavilion itu merupakan yang pertama seumpamanya dihoskan di platform DagangHalal.com.

Inisiatif tersebut membolehkan syarikat Jepun yang disahkan halal mempamerkan produk mereka secara terus kepada pembeli di Asia Tenggara, sebuah rantau yang kini menempatkan lebih 280 juta Muslim dan dijangka meningkat kepada 310 juta menjelang 2050.

 

Malaysia, dengan lebih 21.6 juta Muslim, dilihat sebagai pintu masuk strategik untuk mengakses pasaran halal serantau yang semakin berkembang pesat.

 

Gabungan peranan sebagai rakan media MIHAS dan pelopor Pavilion Jepun ini mencerminkan strategi DagangHalal untuk membina ekosistem halal tanpa sempadan, menghubungkan pameran fizikal dengan platform digital.

 

Melalui pendekatan ini, DagangHalal memastikan perniagaan halal mendapat pendedahan maksimum, saluran pengedaran lebih efisien serta sokongan pematuhan yang diyakini.

 

“Tidak kira sama ada di MIHAS Kuala Lumpur atau Pavilion Jepun di platform kami, misi DagangHalal tetap sama dalam memperkasakan perniagaan halal dengan rangkaian, alat dan sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang ke peringkat global,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com