Cypark terima pembiayaan Islam RM1.3 bilion daripada MBSB Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark terima pembiayaan Islam RM1.3 bilion daripada MBSB Bank

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos – MBSB Bank Berhad memeterai kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM1.3 bilion kepada Cypark Resources Berhad (Cypark), penyedia utama tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan alam sekitar bersepadu di Malaysia.

 

Pembiayaan itu mengukuhkan kedudukan MBSB Bank sebagai rakan perbankan utama Cypark dan membuktikan komitmen bank tersebut dalam menerajui peralihan tenaga bersih negara.

 

Kemudahan yang merangkumi pembiayaan semula dan modal kerja itu dirangka untuk mengukuhkan struktur modal Cypark, mengoptimumkan aliran tunai serta menyediakan kapasiti strategik bagi pertumbuhan.

 

Cypark juga akan menempatkan dana ke dalam produk Sustainable Term Deposit-i pertama MBSB Bank, iaitu instrumen deposit yang menyalurkan dana terus kepada projek-projek kelestarian alam sekitar dan sosial.

 

Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pembiayaan itu menjadi mercu tanda dalam transformasi bank apabila berjaya menyelaraskan kewangan Islam dengan matlamat tenaga negara.

 

“Dengan memadankan modal kepada aset tenaga boleh diperbaharui jangka panjang, kami turut membentuk masa depan tenaga bersih Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Cypark, yang memiliki kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 400 megawatt, diiktiraf melalui projek perintis tenaga solar, biogas serta loji jana kuasa daripada sisa pepejal termasuk fasiliti SMART Waste-to-Energy pertama di Malaysia.

 

Pembiayaan itu adalah satu pencapaian penting dalam strategi transformasi Cypark 2.0 untuk memperkukuh asas kewangan, meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepat pertumbuhan tenaga bersih.

 

Menerusi pembiayaan tersebut, MBSB Bank akan membiayai semula aset tenaga boleh diperbaharui sedia ada milik Cypark, termasuk projek tenaga solar dan jana kuasa daripada sisa pepejal.

 

Sementara itu, Pengerusi Cypark, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pembiayaan semula ini mengurangkan beban kewangan utama kumpulan selain meletakkannya pada landasan kukuh untuk pertumbuhan mampan serta pulangan lebih baik kepada pemegang saham.

 

“Kami menghargai MBSB Bank bukan sahaja sebagai pemberi pembiayaan tetapi juga rakan strategik yang berkongsi visi terhadap ekonomi rendah karbon Malaysia,” katanya sambil menegaskan keyakinan MBSB Bank menjadi faktor penting dalam pencapaian ini.

 

Menurut beliau, pihaknya menantikan kerjasama lebih rapat dengan MBSB Bank bagi membangunkan penyelesaian kukuh untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui yang stabil ke grid nasional.

 

Seiring dengan usaha Malaysia mempercepatkan sasaran tenaga boleh diperbaharui, kemudahan ini menjadi penanda aras bagaimana inovasi kewangan dan kelestarian digabungkan.

 

Bagi kedua-dua pihak, kerjasama itu bukan sekadar soal pembiayaan tetapi usaha memacu kemajuan, menjamin masa depan tenaga rendah karbon dan mencipta impak positif berkekalan untuk generasi akan datang.- DagangNews.com