KUALA LUMPUR 31 Dis – Cypark Resources Bhd memaklumkan anak syarikatnya, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd (CRE) telah melaksanakan penebusan penuh Tranche 1 sukuk kekal berjumlah RM235 juta.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata penebusan penuh sukuk berkenaan dilaksanakan pada Selasa, 30 Disember 2025.
Menurut Cypark, penebusan tersebut merupakan antara inisiatif utama di bawah program pembiayaan semula bernilai RM1.3 bilion bersama MBSB Bank, yang diperoleh pada Ogos lalu bagi membiayai semula aset tenaga boleh baharu kumpulan meliputi projek solar dan sisa kepada tenaga.
Pengarah Urusan Kumpulan Cypark, Datuk Ami Moris berkata, penebusan awal dan penuh Tranche 1 sukuk kekal musharakah itu mencerminkan kemajuan berterusan syarikat dalam memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan.
“Penebusan awal dan penuh Tranche 1 sukuk kekal musharakah ini mencerminkan kemajuan konsisten yang kami capai dalam memperkukuh Cypark sebagai sebuah organisasi serta mengukuhkan komitmen kami untuk menunaikan semua obligasi kewangan,” katanya.
Cypark berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha pengoptimuman kunci kira-kira kumpulan susulan pelaksanaan pembiayaan semula menyeluruh, yang akan membolehkan syarikat menangani struktur pembiayaan legasi serta memperkukuh profil modal jangka panjangnya.
Setakat akhir Oktober 2025, jumlah keseluruhan sukuk kekal Cypark berjumlah RM552.04 juta.
Tranche 1 bernilai RM235 juta itu diterbitkan di bawah beberapa siri antara tahun 2020 hingga 2023 di bawah program sukuk kekal kumpulan berjumlah sehingga RM500 juta.
Pada September 2023, CRE turut menerbitkan Tranche 2 bernilai RM100 juta dan Tranche 3 berjumlah RM165 juta.
Menurut laporan tahunan Cypark, sukuk kekal tersebut membawa kadar agihan berkala tetap awal antara 6.50% hingga 6.85% setahun, yang dibayar secara separuh tahunan secara tunggakan. - DagangNews.com








