KUALA LUMPUR 11 Ogos - CVC Capital Partners berhasrat melepaskan pegangan 68.35% dalam AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) selepas firma ekuiti dan penasihat pelaburan itu dilaporkan tidak mahu lagi menjadi pemegang saham tunggal terbesar, menurut sumber.
Sekurang-kurangnya terdapat satu pihak yang berminat mengambil alih pegangan ekuiti itu daripada Starlight Asset Sdn Bhd iaitu kenderaan pelaburan khas CVC, menurut individu yang rapat dengan perkara itu.
Pengunduran CVC boleh memberi penilaian AHAM Capital antara RM2.6 bilion hingga RM3 bilion, menurut sumber yang dipetik oleh The Edge.
CVC membayar RM1.54 bilion untuk pegangan dalam AHAM Capital — yang ketika itu dikenali sebagai Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM) — pada Februari 2022.
Firma ekuiti persendirian itu memperoleh 63% pegangan daripada Affin Bank Bhd pada harga RM1.4 bilion, dan 5.35% lagi daripada pihak pengurusan Affin Hwang AM pada harga RM120 juta.
Affin Bank mencatatkan keuntungan pelupusan sebanyak RM1.06 bilion. Urus niaga tersebut, yang diselesaikan pada Julai 2022, meletakkan penilaian AHAM Capital pada RM2.25 bilion. Ini diterjemahkan kepada nisbah harga kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 3.08%, lebih tinggi daripada purata 2.64% bagi urus niaga penggabungan dan pengambilalihan syarikat pengurusan aset sejak 2014.
Diketuai Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Teng Chee Wai, jumlah aset di bawah pentadbiran AHAM Capital adalah sekitar RM89 bilion pada akhir 2024. Sehingga akhir Jun, nilai aset bersih bagi 132 dana yang diuruskan syarikat itu berjumlah RM57.01 bilion, menurut laman web rasminya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), keuntungan selepas zakat dan cukai AHAM Capital meningkat sebanyak 1.16% tahun ke tahun kepada RM115.4 juta, berbanding RM114.07 juta dalam FY23, dengan hasil sebanyak RM484.35 juta — meningkat 28.36% daripada RM377.33 juta tahun sebelumnya.
Dana pemegang saham AHAM Capital berjumlah RM233.48 juta pada akhir 2024, berbanding RM225.28 juta pada akhir 2023. Jumlah aset adalah sebanyak RM1.12 bilion, menurut makluman kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pemegang saham lain AHAM Capital termasuk Nikko Asset Management Co Ltd dari Jepun (20%) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (7%). Pihak pengurusan AHAM Capital memiliki 4.65% pegangan melalui Starlight Management Co (Jersey) Ltd.
Selain pengurusan dana, AHAM Capital turut menawarkan rumusan pengurusan tunai, pengurusan portfolio, serta menyediakan skim persaraan swasta dalam kalangan produk dan perkhidmatan pelaburannya.
Syarikat itu juga memiliki 100% pegangan dalam syarikat pengurusan pelaburan Islamiknya, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd, serta 51% kepentingan dalam firma ekuiti persendirian berfokus impak serantau Asia Tenggara, Bintang Capital Partners Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2016. - DagangNews.com








