KUALA LUMPUR 29 Julai – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melanjutkan tarikh akhir pembayaran Levi Pembangunan Sumber Manusia (PSM) bagi bulan Ogos 2025 kepada 19 September ini.
HRD Corp berkata, pelanjutan tarikh itu dibuat susulan pengisytiharan cuti umum tambahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September 2025 sempena sambutan Hari Malaysia.
“Langkah ini bertujuan memberi kelonggaran kepada majikan berdaftar yang mungkin terkesan dengan cuti hujung minggu yang panjang.
“Bagi mematuhi peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001, majikan berdaftar diwajibkan membuat pembayaran levi PSM pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.
“Namun, setelah mengambil kira cuti tambahan tersebut, tarikh akhir bagi bulan Ogos dilanjutkan bagi memberikan ruang yang mencukupi kepada majikan,” kata HRD Corp dalam satu kenyataan hari ini.
Lanjutan ini juga selari dengan prinsip 3K yang diterapkan oleh Kementerian Sumber Manusia iaitu Kebajikan Pekerja, Kemahiran Pekerja dan Keberhasilan Pekerja — yang menjadi teras dasar sumber manusia negara.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kami terhadap kebajikan majikan dan pekerja, khususnya dalam memberi ruang kepada majikan merancang dan mengurus pembayaran secara lebih fleksibel sepanjang tempoh sambutan Hari Malaysia,” tambah HRD Corp.
Majikan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian sokongan HRD Corp di 1300-88-4800 atau e-mel ke [email protected]. - DagangNews.com








