KUALA LUMPUR 2 Okt – Custom Food Holding Bhd, pengeluar bahan makanan yang disokong firma ekuiti swasta Creador merancang untuk membuat penyenaraian awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Dana itu akan digunakan untuk membiayai kilang pengeluaran baharu, membayar pinjaman serta menambah modal kerja.
Menurut prospektus draf yang difailkan baru-baru ini, IPO itu melibatkan penerbitan 113.31 juta saham baharu, bersamaan 11.1% daripada jumlah saham diperbesarkan, serta tawaran jualan 186.81 juta saham sedia ada, bersamaan 18.3% saham syarikat. Secara keseluruhan, orang awam akan ditawarkan 29.4% kepentingan dalam syarikat.
Tawaran runcit akan melibatkan 30.62 juta saham dengan 20.42 juta diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan 10.21 juta untuk individu layak, manakala tawaran institusi melibatkan 269.5 juta saham.
Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan diperoleh oleh Oriental Concept Sdn Bhd (OCSB) dan Sabroso Group Sdn Bhd (SGSB).
Selepas IPO, pegangan OCSB dijangka berkurangan kepada 61.21% manakala SGSB kepada 4.98%.
OCSB dimiliki oleh Pengarah Urusannya Datuk Saw Beng Liang bersama adik-beradiknya Saw Benson dan bapa mereka Saw Ee Chee.
SGSB pula dimiliki oleh Polvere Group Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik Creador V LP.
Custom Food menumpukan pengeluaran krimer bukan tenusu, serbuk lipid berfungsi, serta produk malt dan bijirin.
Syarikat itu mempunyai kilang di Kulim, Kedah dan Perai, Pulau Pinang.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, syarikat mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM42.07 juta daripada pendapatan RM394.86 juta, meningkat daripada PAT 8.77% pada FY2023 kepada 10.65% pada FY2024.
Creador sebelum ini terkenal sebagai pelabur utama dalam beberapa IPO terkemuka termasuk CTOS Digital Bhd (2020), Mr DIY Group Bhd (2021) dan Eco-Shop Marketing Bhd (2025).
RHB Bank adalah penasihat utama , penaja dan penjamin tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








