Cuckoo Malaysia kurangkan harga IPO kepada RM1.08 berbanding RM1.29 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuckoo Malaysia kurangkan harga IPO kepada RM1.08 berbanding RM1.29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Cuckoo International (MAL) Bhd mengurangkan harga tawaran awam permulaan (IPO) kepada RM1.08 bagi pelabur runcit dan institusi. 

 

Pelarasan harga IPO daripada RM1.29 sesaham yang ditetapkan sebelum ini dibuat susulan daripada proses pembinaan buku (bookbuilding) di bawah tawaran institusi, menurut satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat akan memulangkan 21 sen kepada pemohon yang berjaya di bawah tawaran runcit.

 

Perkara itu sekali gus mengesahkan laporan The Edge pada Mei lalu mengenai langkah berkenaan.

 

Cuckoo International — cabang Malaysia kepada gergasi peralatan rumah dari Korea Selatan, Cuckoo Homesys Co Ltd — kini dijangka mengutip RM154.74 juta daripada IPO tersebut berdasarkan terbitan awam yang tidak berubah sebanyak 143.28 juta saham — berkurangan RM30.08 juta daripada unjuran awal sebanyak RM184.83 juta.

 

The Edge, dalam laporannya pada 14 Mei 2025 yang memetik sumber, menyatakan, Cuckoo International dijangka mengurangkan harga IPO susulan sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap tawaran tersebut.

 

Penurunan harga itu dibuat selepas Cuckoo International menangguhkan tarikh penyenaraian yang dirancang di Pasaran Utama Bursa Malaysia selama dua bulan, daripada 30 April kepada 24 Jun 2025, dengan alasan ketidaktentuan pasaran global yang semakin meningkat.

 

Langkah Cuckoo International itu merupakan pelarasan kedua ke bawah bagi harga IPO tahun ini, selepas keputusan Eco-Shop Marketing Bhd bagi mengurangkan harga tawaran sebanyak 6.6% kepada RM1.13 sesaham.

 

Eco-Shop, yang mencatatkan lebihan langganan runcit sebanyak 0.96 kali bagi 114.94 juta saham, telah disenaraikan di Pasaran Utama pada 23 Mei. 

 

Berbanding harga IPO sebanyak RM1.13 sesaham, saham rangkaian runcit kedai barangan murah itu telah meningkat 11.5% kepada RM1.26.

 

Harga IPO yang telah disemak semula memberikan Cuckoo International nilai permodalan pasaran sebanyak RM1.55 bilion, berkurangan daripada RM1.85 bilion. 

 

Saham syarikat itu dinilai pada nisbah harga terhadap pendapatan terkini sebanyak 17.7 kali, berdasarkan keuntungan bersih sebanyak RM87.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), berbanding 21.2 kali pada harga IPO asal RM1.29 sesaham.

 

Tawaran runcit dan institusi Cuckoo International yang telah dijadualkan semula ditutup pada 5 Jun lalu. Angka langganan bagi tawaran runcitnya bagaimanapun masih belum diumumkan. - DagangNews.com