Critical Holdings peroleh kontrak RM40.8 juta untuk projek pusat data di Bukit Jalil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings peroleh kontrak RM40.8 juta untuk projek pusat data di Bukit Jalil

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis – Critical Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Critical M&E Engineering Sdn. Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM40.8 juta bagi projek pusat data di Bukit Jalil, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan itu berkata, kontrak tersebut melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan operasi sistem mekanikal.

 

“Ini termasuk jaminan dan penyelenggaraan bagi projek berkenaan.

 

“Kerja-kerja projek dijangka siap sepenuhnya menjelang 7 Disember 2026, memberikan tempoh kira-kira setahun untuk penyempurnaan semua kerja yang telah ditetapkan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Lembaga Pengarah Critical Holdings menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada keuntungan serta aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Syarikat menegaskan bahawa tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama, atau individu berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.

 

Selain risiko operasi biasa, Critical Holdings tidak menjangka sebarang risiko luar biasa yang boleh menjejaskan pelaksanaan kontrak.

 

Penganugerahan kontrak adalah satu lagi perkembangan positif bagi Critical Holdings dalam memperkukuh kehadiran syarikat dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan mekanikal. - DagangNews.com