CREST, HRD Corp jalin kerjasama bangunkan bakat baharu sektor semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CREST, HRD Corp jalin kerjasama bangunkan bakat baharu sektor semikonduktor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan dan Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim sambil disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalinkan kerjasama bagi membangunkan bakat baharu dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E) bagi menyumbang kepada sektor semikonduktor yang pesat berkembang.

 

Inisiatif di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu bukan sekadar satu pencapaian penting, tetapi juga pemangkin strategik dalam merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi hab semikonduktor bertaraf global, sekali gus membentuk satu perkongsian strategik dalam pembangunan bakat di bawah kerangka Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

 

Pencapaian bersejarah ini berlangsung sempena ulang tahun pertama NSS di Persidangan Semikonduktor ASEAN 2025.

 

Jalinan kerjasama itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

 

Program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) yang diterajui CREST merupakan inisiatif strategik untuk membangunkan bakat secara menyeluruh bagi ekosistem semikonduktor Malaysia. 

 

Ia memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pelajar, graduan, tenaga kerja semasa dan penyelidik dalam teknologi utama semikonduktor bagi memacu inovasi di samping melahirkan kumpulan bakat berkemahiran tinggi, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap semikonduktor global.

 

Ia selaras dengan matlamat utama Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan secara khususnya NSS, yang menyasarkan pembangunan bakat yang bersedia untuk industri.

 

Sasaran NSS untuk melatih 60,000 jurutera semikonduktor menjelang 2030 akan menyokong pertumbuhan sektor ini melalui tenaga kerja masa depan yang kompeten, inovatif dan aktif dalam penyelidikan serta pembangunan (R&D) di Malaysia. 

 

Jaffri Ibrahim berkata, menerusi ETSI, pihaknya memperkasakan pelajar, jurutera dan penyelidik dengan kemahiran masa depan serta akses kepada infrastruktur bertaraf dunia menerusi program pembangunan bakat dan CoE Semikonduktor. 

 

"Bersama HRD Corp, kami memupuk pencipta perubahan sejak hari pertama – individu yang bakal merubah masa depan Malaysia dengan membina syarikat, mencipta harta intelek serta menjulang nama negara di peta semikonduktor dunia,” katanya.

 

Sementara itu, Syed Alwi berkata, setiap kemajuan teknologi perlu diiringi dengan kemajuan bakat. 

 

"Justeru, kami komited untuk terus memperkasa keupayaan industri semikonduktor negara merentasi masa lalu, masa kini dan masa depan melalui inisiatif strategik dan kerjasama berterusan bersama CREST.

 

“Kami menetapkan sasaran tinggi untuk meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera menjelang 2030, yang pastinya memerlukan koordinasi, kejelasan dan komitmen kepada rangka kerja pelaksanaan yang kukuh. 

 

"Sehubungan itu, saya juga berbangga untuk mengumumkan bahawa HRD Corp turut menyediakan Rangka Kerja Kemahiran Industri (IndSF) khusus untuk industri semikonduktor, satu panduan komprehensif yang membantu individu, perniagaan dan institusi pendidikan memahami landskap kemahiran dalam sektor ini,” katanya. - DagangNews.com