KUALA LUMPUR 22 Dis – Crest Builder Holdings Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya CBTECH (M) Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak oleh HAB Construction Sdn Bhd sebagai subkontraktor terpilih bagi perkhidmatan elektrik dan voltan sangat rendah untuk projek pembangunan bercampur di Lot 20005, Seksyen 58, Jalan P. Ramlee.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Crest Builder berkata projek itu merangkumi 5 tingkat bawah tanah, podium 10 tingkat, hotel dan kediaman persendirian 48 tingkat (Menara 1).
“Menara 2 pula merangkumi apartmen servis 56 tingkat yang melibatkan nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM73.9 juta.
“Kontrak sub kontrak bermula 19 Disember 2025 dan dijangka siap selaras jadual kerja kontraktor utama dengan keseluruhan projek disasarkan siap pada 22 Februari 2029,” katanya dalam makluman tersebut.
Crest Builder menegaskan kontrak ini tidak menjejaskan modal berbayar atau pemegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Syarikat juga menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan seterusnya.
Menurut pengarah syarikat, tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.
Pengarah Crest Builder menyatakan bahawa penerimaan kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com







